X

Kindly register in order to view this article
!

Mahkamah tolak permohonan lucut hak RM3juta daripada AGA Touch

A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal melucut hak wang berjumlah RM3 juta yang disita daripada satu akaun bank milik firma IT, AGA Touch (M) Sdn Bhd, kerana didakwa mempunyai kaitan dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonan SPRM selepas mendapati suruhanjaya itu gagal membuktikan wang berkenaan adalah hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“AGA Touch tidak pernah menafikan bahawa mereka telah menerima RM3 juta daripada (bekas Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014, namun syarikat itu menghujahkan bahawa wang berkenaan adalah sebagai bayaran perkhidmatannya kepada UMNO.

"Wang RM3 juta itu telah dibelanjakan dan wang yang ada dalam (akaun) syarikat itu pada Mei 2018 adalah wang daripada punca sumber lain. Sehubungan itu, mahkamah menolak permohonan ini," kata hakim berkenaan.

Selepas hakim Muhammad Jamil membuat keputusan itu, peguam Datuk Hariharan Tara Singh memohon agar mahkamah melepaskan wang berkenaan serta-merta, manakala Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Farah Yasmin Salleh berkata pihaknya akan membuat rayuan terhadap keputusan hari ini dan memohon agar keputusan itu digantung sementara.

Hakim bagaimanapun menolak permohonan lisan pihak pendakwaan untuk menggantung sementara keputusan hari ini bagi menunggu kes rayuan mereka di Mahkamah Rayuan selesai.

Mahkamah sebaliknya mengarahkan agar pihak pendakwaan memfailkan permohonan bertulis berhubung penggantungan sementara keputusan itu.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding hari ini, Hariharan berkata pihaknya akan menulis surat kepada Public Bank Berhad dalam masa terdekat memohon pelepasan wang RM3 juta tersebut yang sudah dibekukan sejak lebih dua tahun.

Sementara itu di mahkamah berasingan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan penangguhan sementara pelaksanaan keputusan berkaitan wang berjumlah RM1.15 juta yang disita daripada Badan Perhubungan UMNO Kedah dan Habib Jewels Sdn Bhd.

Hakim, Mohd Nazlan berkata, pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang keadaan khusus untuk mewajarkan penggantungan keputusan itu.

UMNO Kedah diwakili peguam, G. Nadaraja manakala peguam Gooi Yang Shuh bertindak bagi pihak Habib Jewels.

Pada 13 Disember 2019, Hakim Mohd Nazlan menolak permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak sejumlah wang daripada dua entiti atas alasan suruhannjaya itu gagal membuktikan kesnya terhadap kedua-dua entiti.

Pihak pendakwaan kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 16 Dis tahun sama terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada Jun 2019, SPRM memfailkan pelucuthakan aset terhadap 41 entiti merangkumi individu, syarikat dan parti politik menurut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan bagi mendapatkan semula sejumlah RM270 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

SPRM percaya wang berkenaan disalurkan secara tidak sah daripada akaun-akaun bank Najib. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf