Jangan mudah terpedaya

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

MINGGU lepas kawan saya mengajak saya untuk sama-sama keluar membeli-belah kerana ada tawaran menarik. Dia memaklumkan kepada saya ada sebuah kedai kasut di pasar raya besar membuat tawaran yang sangat menarik. Mana tidaknya, tawaran hebat daripada sebuah kedai kasut berjenama yang memang terkenal dan memang kasut jenama tersebut sangat sedap dipakai.

Kawan saya bersungguh betul untuk merebut peluang tersebut. Sehari sebelum itu, dia sudah pergi untuk mencari benda lain sebenarnya dan ternampak orang ramai beratur panjang untuk menunggu giliran masuk ke premis yang menjual kasut berjenama terkenal tersebut.

Tentu kita semua boleh bayangkan berapa panjang barisan orang yang beratur sebab sekarang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Semua mesti ikut prosedur operasi standard (SOP).

Tawaran yang diberikan amat menarik. Jika membeli sepasang kasut daripada premis berkenaan, mereka boleh dapat sepasang lagi dengan harga RM1. Sangat menarik bukan? Mana pernah ada tawaran sebegitu dibuat sebelum ini. Tidak pernah saya dengar apatah lagi jika datangnya daripada kedai kasut berjenama yang memang harga kasutnya adalah ratusan ringgit.

Saya bukanlah orang yang suka membeli-belah sebenarnya. Bila mendengar tentang tawaran tersebut, sedikit pun ia tidak menarik minat saya. Banyak faktor yang membuat saya tidak tertarik. Antaranya malas hendak beratur panjang. Keduanya tawaran itu terlalu hebat atau dalam bahasa Inggeris selalunya disebut too good to be true.

Sebaik sahaja saya dimaklumkan bahawa sepasang kasut yang kedua akan dijual pada harga RM1, hati saya terus terdetik: betul ke kasut yang berjenama mahal begitu hendak dijual dengan harga RM1 sahaja apabila seseorang itu sudah membeli sepasang yang pertama dengan harga yang sudah ditetapkan? Kita tahu dalam tempoh PKP dan PKPB, jumlah jualan jatuh merudum. Berapa banyak kerugian yang dialami dalam tempoh tersebut. Adakah logik pada akal kita premis berkenaan akan sanggup menanggung kerugian dengan menjual kasut berjenama mahal itu dengan harga RM1?

Ringkas ceritanya, kawan saya pun pada esok harinya pergi lebih awal ke premis berkenaan agar tidak beratur terlalu lama. Seperti yang saya duga, dia memaklumkan bahawa dia terkejut dengan harga yang diletakkan pada setiap pasang kasut dalam premis tersebut.

Bukan sahaja fesyen yang lama tetapi harganya dinaikkan sekali ganda daripada harga biasa. Memang kawan saya jenis yang selalu semak harga kasut berkenaan dan dia tahu harga sebenar yang biasa dijual. Jika begitu hakikat sebenar, memang boleh sangat ditawarkan harga RM1 untuk satu pasang berikutnya malah jika hendak diberi percuma sekalipun tidak ada kerugian apa pun.

Artikel Berkaitan:

Begitulah bijaknya mereka membuat iklan untuk menarik minat pembeli. Pada saya, iklan sebegitu tidak patuh syariah sebab ada unsur tidak berkata benar. Malah ada unsur memperdaya pelanggan. Saya mungkin salah tetapi adalah sangat tidak wajar sekali pada saat PKPP pun belum habis, pelanggan sudah diperdaya.

Bayangkan mereka beratur panjang dan berdiri lama, apabila mengetahui hakikat sebenar, tentu sekali berasa hampa dan kecewa. Berbaloikah berdiri lama dan beratur panjang sedangkan tawaran itu hanya indah untuk didengar atau cantik untuk dibaca sahaja?

Akhir kalam, pesanan saya pada rakyat Malaysia, apa sahaja dalam dunia ini jika sesuatu itu ‘terlalu jauh untuk dikatakan betul’, jangan mudah terpedaya termasuklah dalam bab pelaburan. Wallahu a’lam.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah