Malaysia perlu waspada teknologi 5G China: Daim

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu berwaspada terhadap peningkatan teknologi 5G China berikutan keupayaannya mencetuskan ancaman keselamatan siber dan digital terhadap negara, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin, di sini hari ini.

Beliau berkata, terdapat kebimbangan teknologi itu akan disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mencuri maklumat penting dan menceroboh 'kedaulatan digital' Malaysia.

"Saya telah membincangkan isu kedaulatan wilayah sebelum ini, tetapi hari ini, kita menghadapi pencerobohan 'kedaulatan digital'.

"Walaupun kelajuan penghantaran dan penyimpanan maklumat telah meningkatkan kehidupan seharian kita, kita perlu bertanya apakah harga yang perlu dibayar untuk kemudahan ini," katanya semasa Dialog Perwira.

Beliau turut mempersoalkan keselamatan, pertahanan, privasi dan implikasi strategik kepimpinan China dalam bidang ini kerana maklumat penting dapat diperoleh daripada peranti digital seharian yang biasa.

"Maklumat ini bukan sekadar apa yang kita hantar, sebagai data mengenai apa yang kita lakukan, ke mana kita pergi, apa yang kita beli, dan apa yang kita katakan dapat diekstrak dari peranti sehari-hari biasa," katanya.

Daim berkata kehebatan teknologi dan penguasaan ekonomi China, seperti yang dilihat dalam pelan tindakan 'Made in China 2025' untuk kehandalan dalam teknologi tinggi serta keunggulan teknologi 5G mereka, telah mendorong Amerika Syarikat membuat tuduhan mengenai kecurian harta intelek dan menggunakan syarikat teknologi komersial untuk memenuhi kepentingan negara.

Pada sidang media kemudiannya, Daim berkata Malaysia tidak mempunyai rancangan untuk menghentikan syarikat telekomunikasi China, Huawei daripada beroperasi di negara ini kerana kerajaan mampu menilai ancaman keselamatan siber dan digital.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk menjalankan ujian pada peranti digital termasuk dari Huawei, untuk memastikan tiada ancaman pengintip siber yang terlibat.

Sabtu lepas, semasa di London, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Malaysia akan menjalankan kajian terlebih dahulu untuk mendapatkan butiran sebelum bertindak menyekat Huawei, daripada membina infrastruktur 5G di Malaysia, susulan kebimbangan berhubung pengintipan siber yang semakin meningkat dalam kalangan negara barat. - Bernama