Mohd Rashid nafi mewakili Wan Azizah lancar projek EM-IIG

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon nafi wakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada majlis pelancaran projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG).

Jelas beliau, pihak penganjur telah memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan dan memintanya untuk menyampaikan ucapan majlis tersebut.

"Saya telah diberikan teks ucapan oleh penganjur sebagai panduan dalam ucapan saya. Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya mewakili Timbalan Perdana Menteri ke majlis ini.

"Sebarang kenyataan yang menyatakan bahawa saya mewakili Timbalan Perdana Menteri adalah bertujuan untuk mengelirukan," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Rashid berkata, beliau menggesa penganjur untuk segera bertindak membetulkan keadaan dan sekali gus membersihkan namanya dari sebarang kekeliruan.

"Jika penganjur tidak mengeluarkan sebarang penjelasan dan penafian, pihak saya tidak teragak-agak untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mereka," tegas beliau.

Hari ini, Pejabat Timbalan Perdana Menteri memberi amaran kepada semua organisasi supaya tidak menggunakan atau mengedarkan bahan seperti teks ucapan yang menggunakan nama Timbalan Perdana Menteri tanpa kebenaran.

Amaran itu susulan satu laporan berita yang memetik ucapan daripada Wan Azizah berkaitan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi “Enhanced Malaysia International Internet Gateway” (EM-IIG) yang dibangunkan oleh Xiddig Cellular Communications Sdn. Bhd.

Artikel Berkaitan:

Teks ucapan yang dibaca pada pelancaran projek tersebut tidak pernah diluluskan Timbalan Perdana Menteri ataupun Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta tidak mewakilkan kepada sesiapa untuk membaca teks ucapan tersebut.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa Wan Azizah tidak pernah sama sekali berkata bahawa kerajaan akan memberi kerjasama penuh kepada pelaksanaan projek EM-IIG.

Laporan yang mula disiarkan di beberapa portal berita berbahasa Inggeris sejak tengah hari tadi mendakwa projek bernilai RM5.45 bilion itu meliputi pemasangan serat optik terbesar di dunia yang melibatkan talian 110,000 km.

Dakwa laporan tersebut, fasa pertama projek dijangka siap pada November, dengan talian Internet yang menghubungkan Pengerang, Johor, ke Putrajaya, di mana pengguna boleh menikmati kelajuan sehingga satu gigabit sesaat.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Jangan salah guna nama TPM']