Dewan Rakyat kecoh, Mohd Sany dikenakan amaran

Mohd Sany Hamzan
Mohd Sany Hamzan
A
A
A

SHAH ALAM - Persidangan Dewan Rakyat pada sesi pagi Rabu kecoh seketika apabila Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mencelah dan menyifatkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim sebagai seorang yang tidak beradab.

Susulan itu, tindakan tersebut menyebabkan Mohd Sany dikenakan amaran pertama daripada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Nor.

Ramli berkata, kesalahan itu telah direkodkan dan jika mencapai amaran ketiga, beliau akan mengambil tindakan, sama ada ahli Parlimen kerajaan ataupun pembangkang.

“Saya telah rekodkan dalam prosiding saya. Setakat ini Hulu Langat, amaran pertama.

“Masuk amaran ketiga saya tidak biarkan lagi, baik sebelah kerajaan atau pembangkang,” katanya.

Amaran Ramli itu dibuat susulan tindakan Mohd Sany yang bangkit mencelah ketika sesi Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud yang menjawab pertanyaan Shahidan berhubung usaha kepimpinan negeri dalam menarik pelabur asing untuk melabur dan membangunkan kawasan masing-masing, sekali gus meningkat peluang pekerjaan kepada golongan belia.

Terdahulu, Shahidan mendakwa bahawa Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan berdiam diri dan enggan bertemu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi berbincang untuk mendapatkan persetujuan berkaitan peluang pelaburan yang berpotensi di Kedah.

Bagaimanapun, Mustapha berkata, Ahli Parlimen Tambun itu telah pun menyatakan kesediaan beliau untuk bertemu dan berbincang dengan mana-mana pihak secara beradab.

“(Ahli Parlimen) Arau memang tak beradab. Semalam (beliau) sebut orang bangang,” celah Mohd Sany.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee tampil berdiri dan memaklumkan bahawa itu bukan kali pertama Mohd Sany bertindak sedemikian.

“Peraturan mesyuarat 36(6) dan 36(4), Hulu Langat bukan sekali, semalam pun melakukan tabiat yang sama melanggar peraturan. Sudah terlalu banyak amaran (dikeluarkan) Yang Dipertua.

“Dia patut (dikenakan) tindakan lebih keras daripada memberi amaran setiap hari. Semua orang tahu setiap hari.

“Terlalu banyak amaran diberikan kepada Ahli Parlimen ini. Apa ‘special’ (istimewa) sangat (Ahli Parlimen) Hulu Langat?” soalnya.

Peraturan mesyuarat 36(6) menyatakan seseorang ahli Parlimen tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas siapa-siapa ahli lain.

Manakala peraturan mesyuarat 36(4) pula adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli

Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.