iGuru sokong alumni kumpul dana beli alat pengimbas suhu

Mohd Azizee Hasan
Mohd Azizee Hasan
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan alat pengimbas haba inframerah automatik akan mengelakkan tugas hakiki guru sekolah terganggu.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd Azizee Hasan berkata, penggunaan alat pengimbas suhu digital biasa memerlukan guru untuk memantau tugas saringan suhu badan murid yang dilakukan pengawal keselamatan.

“Kalau guna alat pengimbas suhu digital biasa, sekolah perlu guna khidmat pengawal keselamatan dan ia dipantau oleh guru. Keadaan ini memberi gangguan kepada guru sedangkan guru perlu bersedia untuk memulakan kelas atau melakukan tugas-tugas mereka yang lain.

“Kalau ada pengimbas suhu inframerah automatik, kerja-kerja saringan suhu badan lebih pantas dan ia menjimatkan masa,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Mohd Azizee berkata, berdasarkan penggunaan alat canggih itu di premis komersial, ia terbukti boleh mempercepatkan kerja-kerja penyaringan dan pengambilan suhu badan.

Katanya, berbanding menggunakan alat pengimbas suhu digital biasa yang lazimnya berharga antara RM250 sehingga RM400 setiap satu, proses pengambilan suhu badan memakan masa yang lebih lama dan murid perlu beratur panjang.

Bagaimanapun, katanya, pihak sekolah boleh membeli sendiri alat pengimbas haba inframerah automatik itu sekiranya mempunyai sumber kewangan yang kukuh seperti memperoleh dana daripada Persatuan Ibu Bapa dan Pelajar (PIBG).

“Jika tidak ada sumber kewangan, ia akan menjadi masalah untuk pihak sekolah menyediakan alat ini. Kos seunit alat pengimbas suhu inframerah automatik bukan murah, harganya cecah RM5,000 seunit dan ia bergantung pada kapasiti sekolah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau bersetuju supaya ibu bapa dan alumni sekolah mengambil inisiatif menggumpulkan dana awam bagi pemasangan alat pengimbas haba inframerah automatik tersebut.