Golf Amal PNSB kumpul dana RM20,000 bantu rumah kebajikan

Sebahagian peserta bergambar pada Kejohanan Golf Amal PNSB 2023 di Glenmarie Golf and Country Club di sini pada Ahad lalu.
Sebahagian peserta bergambar pada Kejohanan Golf Amal PNSB 2023 di Glenmarie Golf and Country Club di sini pada Ahad lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) berjaya mengutip dana berjumlah RM20,000 melalui penganjuran Kejohanan Golf Amal PNSB 2023 di Glenmarie Golf and Country Club di sini pada Ahad lalu.

PNSB dalam kenyataan memaklumkan, kutipan dana itu disalurkan kepada empat pertubuhan kebajikan terpilih.

Menurut PNSB, empat badan kebajikan itu ialah Pertubuhan Kebajikan Dan Kemasyarakatan Asnaf Seksyen 7, Pertubuhan Pusat Jagaan Limpahan Kasih, Good Samaritan Home Care Centre dan Pertubuhan Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah.

"Penganjuran yang diadakan kali ini bermatlamat mengumpul dana untuk disalurkan kepada badan kebajikan dan ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PNSB tahun ini," kata kenyataan itu pada Selasa.

PNSB memberitahu, kejohanan itu bertujuan mengeratkan silaturahim di antara pihaknya dengan ketua jabatan; pegawai daerah; Yang Dipertua di negeri ini selain ketua dari sektor swasta dan korporat.

PNSB memaklumkan, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PNSB turut menyertai kejohanan itu seterusnya menyempurnakan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang.

Haris (duduk lima dari kanan) bersama sebahagian peserta menjayakan Kejohanan Golf Amal PNSB 2023 di Glenmarie Golf and Country Club di sini pada Ahad lalu.
Haris (duduk lima dari kanan) bersama sebahagian peserta menjayakan Kejohanan Golf Amal PNSB 2023 di Glenmarie Golf and Country Club di sini pada Ahad lalu.

Menurut PNSB, seramai 132 peserta daripada pelbagai jabatan, agensi dan organisasi bersaing merebut hadiah juara keseluruhan.

Selain itu, kenyataan itu menambah, PNSB juga turut menawarkan hadiah bagi kategori medal A dan B selain turut menawarkan hadiah cabutan nombor bertuah.

Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dalam ucapan alu-aluan semasa majlis makan tengah hari dan penyampaian hadiah berkata, sumbangan dan khidmat bakti atas tujuan kebajikan mampu menjana perubahan seterusnya membawa makna kepada mereka yang memerlukan.

"Penganjuran acara berbentuk riadah ini juga dilihat selari dengan misi CSR PNSB," ujar beliau.

Pada kejohanan itu, Romie Akmali Mohd Nor menjadi juara keseluruhan, manakala naib juara, Asisten Superintenden Rudy Syahrizal Elham dan tempat ketiga, Imran Md Nor.

Pemenang kategori Medal A pula diungguli Ng Jun Lip manakala kategori Medal B pula Abd Rahman Ismail.

Kali terakhir PNSB menganjurkan Kejohanan Golf Amal pada tahun 2019 dan pada tahun sebelumnya, PNSB hanya menganjurkan Kejohanan Golf Persahabatan.