'Syukur akhirnya penantian dimakbulkan ALLAH'

Jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Padu Permai Sungai Besar hari ini.
Jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Padu Permai Sungai Besar hari ini.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Jemaah di Masjid Taman Padu Permai di sini meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menunaikan solat Jumaat selepas lebih tiga bulan tidak dapat berbuat demikian berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Seorang jemaah, Halimi Saharadin, 37, berkata, dia teruja untuk menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid itu.

Malah, katanya, dia tiba di masjid lebih awal kerana tidak mahu melepaskan peluang menyempurnakan solat itu.

"Saya sebelum ini pernah datang ke masjid ini untuk menunaikan solat Jumaat, tapi tidak dibenarkan masuk kerana bilangan jemaah terhad.

"Alhamdulillah, saya bersyukur akhirnya penantian untuk berjemaah dimakbulkan ALLAH pada hari ini," katanya kepada Sinar Harian.

Halimi Saharadin
Halimi Saharadin

Seorang lagi jemaah, Ahmad Naufal Shakir Khairul Anuar, 22, berkata, tentunya solat Jumaat yang dihadiri hari ini berbeza berbanding sebelum ini.

Katanya, setiap jemaah perlu membiasakan diri dengan normal baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan penjarakan sosial ketika berbaris, memeriksa suhu badan serta menggunakan cecair pembasmi kuman di kaunter masuk.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu saya berasa rindu untuk menjejak kaki di rumah ALLAH setelah sekian lama tidak dapat mengimarah masjid.

"Mungkin ada hikmahnya tersendiri apabila kita berjemaah di rumah kerana mampu mengeratkan ukhuwah antara keluarga, tetapi perasaan berbeza jika kita dapat berjemaah di masjid," katanya.

Ahmad Naufal Shakir Khairul Anuar
Ahmad Naufal Shakir Khairul Anuar

Bagi Abdul Yazid Sakiran, 50, dia bersyukur kerana hari ini merupakan kali kedua berpeluang menunaikan solat Jumaat sejurus penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

"Biasanya saya hanya mendengar laungan azan di masjid di rumah dengan perasaan ingin bersama-sama menunaikan solat di masjid, tapi alhamdulillah sudah dua kali dapat bersama-sama jemaah lain menunaikan solat Jumaat," katanya.

Sementara itu, Nazir Masjid Taman Padu Permai Sungai Besar, Muhammad Ali Manjok berkata, seramai 500 jemaah dibenarkan menunaikan solat Jumaat di masjid itu.

Muhammad Ali Manjok
Muhammad Ali Manjok

Katanya, pihaknya berharap agar lebih ramai jemaah dapat menunaikan solat Jumaat di masjid yang mampu memuatkan kira-kira

1,700 jemaah sekiranya negara berjaya menangani wabak Covid-19.

"Kita dapat lihat perasaan teruja semua jemaah, malah ada dalam kalangan mereka sudah berpusu-pusu datang ke masjid sejak awal jam 12 tengah hari tadi," katanya.