X

Kindly register in order to view this article
!

16 termasuk pegawai imigresen didakwa Geng Husen Maungdaw

Seramai 16 lelaki termasuk seorang pegawai imigresen Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen.- Foto Bernama
A
A

GEORGETOWN - Seramai 16 lelaki termasuk seorang pegawai imigresen Kedah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Husen Maungdaw sejak September tahun lepas.

Kesemua tertuduh yang berusia 26 hingga 55 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu di dalam daerah Timur Laut antara September 2019 hingga 17 Jun lepas.

Tertuduh termasuk 13 rakyat Rohingya itu ialah Syed Husen Syed Ahmed, 39; Mohd Ayas Hussain, 39; Mohamad Rafik Abdul, 35; Mohamad Ayub Sunail, 55; Karim Oli Ahmad, 26; Shamsul Alam Zakaria, 38; Mohammad Rashid Mohd Shobir, 30; Nor Mustafa Kaloo, 40; Mohd Hashim Osi Rahman, 39; Mohamad Zubir Abd Shukur, 44; Nur Mohamed Mugul Ahmed, 37; Mohiddin Mohd Rafiq, 48, dan Abdullah @ Maung Hla Wing yang merupakan pemegang status penduduk tetap berusia 42 tahun.

Baki tiga lagi tertuduh merupakan warga tempatan ialah pegawai imigresen Kedah, Mohammad Jafnizal Mohammad Jafferi, 34; Amran Che Man, 42, dan Omar Rashid, 43.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula kes. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus