BNM cadangkan tiga pegawai tertinggi 1MDB didakwa - Zeti

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - Foto Bernama
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Buat pertama kalinya, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz memaklumkan Mahkamah Tinggi bahawa bank pusat itu telah mengesyorkan tiga pegawai tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) didakwa berhubung skandal yang menyelubungi syarikat itu.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas Ketua Pegawai Pelaburan 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee.

Zeti, 76, berkata, permintaan beliau (untuk mendakwa mereka) telah dibuat kepada Peguam Negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) namun tiada tindakan diambil terhadap ketiga-tiga individu.

Saksi pendakwaan ke-46 itu berkata, demikian ketika disoal oleh peguam utama Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri tersebut yang membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Bulan lepas, Zeti memberi keterangan bahawa kertas siasatan (IP) yang dikemukakan oleh BNM kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan syor agar pendakwaan jenayah dimulakan dan beberapa pegawai kanan 1MDB didakwa telah diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Zeti berkata, meskipun semua bukti kukuh telah dikumpul dan direkodkan oleh BNM dalam (IP) berkaitan kes 1MDB, Mohamed Apandi, atas sebab-sebab yang tidak diketahui pada 11 Sept 2015, memutuskan bahawa IP yang dikemukakan oleh bank pusat itu diklasifikasikan sebagai NFA.

Ketika disoal Muhammad Shafee sama ada Zeti pernah menyaksikan sebarang peranan yang dimainkan oleh Najib dalam pembayaran wang sebanyak AS$1 bilion kepada syarikat usaha sama 1MDB-Petrosaudi kepada entiti yang salah, beliau berkata, peranan bekas Perdana Menteri itu adalah mengemukakan jaminan kepada Kabinet untuk kelulusan.

"Itu adalah antara sebab BNM meluluskan pembayaran tersebut. Lembaga Pengarah 1MDB telah meluluskannya, Kabinet telah meluluskannya. Beliau (Najib) telah menjamin pelaburan itu. 1MDB sebagai syarikat yang 100 peratus milik Kementerian Kewangan (MOF), tiada sebab untuk BNM tidak meluluskannya,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Awak tidak mencadangkan bahawa Najib telah melakukannya dengan niat yang tidak baik? Zeti menjawab "ternyata, pelaburan sedemikian tidak wujud.

Muhammad Shafee: Tetapi siapa yang memberikan semua maklumat mengenai pelaburan itu kepada Najib?

Zeti: Ini adalah syarikat yang 100 peratus milik MOF.

Gabenor bank pusat itu juga berkata, memandangkan Najib memegang jawatan eksekutif sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB (CBOA), beliau sepatutnya tahu mengenai jenis pelaburan yang sepatutnya dilakukan.

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion milik 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan amaun sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama