Pegawai imigresen ditahan disyaki terima rasuah lebih RM500,000

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan seorang pegawai imigresen di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.

Suspek berusia 37 tahun yang ditahan pada Rabu disyaki menerima rasuah secara bulanan RM300 sehingga RM3,000 dengan jumlah keseluruhan dianggarkan lebih RM500,000 sejak tahun 2018 hingga 2022.

Dia didakwa menerima bayaran daripada pemilik pusat hiburan, pusat urut, pemilik kebun dan pemilik kilang kayu di sekitar daerah kawalannya.

Bayaran rasuah itu bagi melindungi pekerja-pekerja daripada diganggu jabatan itu atas kesalahan tidak mempunyai permit kerja yang sah.

Pengarah SPRM Pahang, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kes yang disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.