Prosiding 1MDB ditangguh bagi laluan Najib bantu jentera PRK Chini

Najib (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Najib (dua dari kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB ditangguhkan hari ini.

Ia berikutan pasukan pembelaan memohon kepada Mahkamah Tinggi di sini supaya Ahli Parlimen Pekan dalam membantu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata demikian selepas perbicaraan bermula di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Muhammad Shafee berkata, anak guamnya itu perlu membantu jentera sehingga hari pengiraan undi kelak.

“Beliau mempunyai jadual yang sangat padat iaitu bermula 9 pagi esok beliau perlu berada di perkampungan Orang Asli Belukar Nangka sehingga jam 12 tengah malam.

“DUN Chini berada dalam Pekan, malah sesuai dengan peranannya selaku Ahli Parlimen Pekan. Amat penting untuk beliau berada di sana sehingga Sabtu ini,” katanya.

Mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan esok malah prosiding yang dijadualkan sehingga jam 6 petang hari ini juga ditutup lebih awal bagi memberi ruang kepada Najib bagi memenuhi tugas berkanunnya selaku Ahli Parlimen.

Prosiding 1MDB disambung 15 Julai depan.

Artikel Berkaitan:

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014, manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013 di tempat sama.

Najib didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama. Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.