Sempat ceritakan pada ibu sebelum rebah

Gambar hiasan. Gambar kecil:Mohd Zain
Gambar hiasan. Gambar kecil:Mohd Zain
A
A
A

MARANG - Seorang lelaki sempat menceritakan kepada ibunya kejadian yang berlaku sebelum dia rebah dan meninggal dunia akibat dipukul dalam kejadian di Kampung Bukit Gasing di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa, Ahmad Farid Mohammad, 28, parah pada anggota badan dipercayai dipukul tiga lelaki termasuk dua orang yang dikenalinya.

Menurut sumber, mangsa dipercayai dipukul tiga lelaki berkenaan di luar kawasan rumahnya sebelum mangsa meminta pertolongan ibunya yang ketika itu berada di dalam rumah.

"Ketika itu mangsa sudah kelihatan sangat lemah. Dalam nada menahan sakit, dia masih sempat memberitahu ibunya yang dia dipukul tiga lelaki termasuk dua yang dikenalinya.

"Beberapa minit kemudian, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri sebelum ibunya menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Dris berkata, siasatan awal polis tidak menemui sebarang objek yang digunakan dalam kejadian itu, bagaimanapun percaya mangsa dipukul kuat dengan tangan.

"Mayat mangsa dibawa ke bilik mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

"Identiti kesemua suspek sudah dikenal pasti. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Artikel Berkaitan: