X

Kindly register in order to view this article
!

ASNB umum agihan pendapatan ASB 3 Didik, ASN Equity

ASNB hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit bagi ASB 3 Didik dan 2.00 sen seunit untuk dana harga berubah, ASN Equity 2, bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2020.
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit bagi Amanah Saham Bumiputera 3 (ASB 3 Didik) dan 2.00 sen seunit untuk dana harga berubah, ASN Equity 2, bagi tahun kewangan berakhir pada 30 Jun 2020.

Jumlah pengagihan pendapatan bagi ASB 3 Didik adalah sebanyak RM275.4 juta yang akan memberi manfaat kepada 298,560 pemegang unit yang memiliki lebih 6.5 bilion unit.

Jumlah pembayaran agihan pendapatan ASN Equity 2 pula sebanyak RM29.4 juta dan akan memberi manfaat kepada 33,277 pemegang unit, yang memiliki lebih 1.4 bilion unit.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) berkata, agihan pendapatan 4.25 sen seunit bagi ASB 3 Didik itu telah mengatasi penanda aras pulangan 2.10 peratus yang dicatatkan oleh Deposit Tetap 12-Bulan Maybank iaitu sebanyak 215 mata asas.

“Setakat 31 Mei, 2020 ASB 3 Didik telah mencatatkan pendapatan bersih yang direalisasikan bernilai RM251.4 juta,” menurut PNB dalam kenyataan hari ini.

PNB berkata, hasil dividen sebanyak 4.04 peratus bagi ASN Equity 2 itu adalah berdasarkan Nilai Aset Bersih dana setakat 25 Jun, 2020 manakala setakat 31 Mei, 2020 ASN Equity 2 mencatatkan pendapatan bersih yang direalisasikan sebanyak RM34.6 juta.

Pengagihan pendapatan yang diumumkan oleh dana-dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasikan, dividen dan pendapatan lain, katanya.

“Ini adalah selaras dengan matlamat PNB untuk terus memberikan pulangan jangka panjang kepada pemegang unitnya,” menurut PNB.

Ia berkata, pengagihan yang diisytiharkan oleh kedua-dua dana ini akan dilaburkan semula sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit dan akan dikreditkan secara automatik pada 1 Julai 2020 bagi kedua-dua dana tersebut.

PNB merupakan syarikat pengurusan dana terbesar di Malaysia dengan aset di bawah pengurusan (AUM) kini melebihi RM300 bilion.

ASNB pula adalah syarikat pengurusan unit amanah PNB dengan 33 pejabat cawangan dan lebih 2,700 cawangan ejen seluruh negara. Ia kini mengurus 14 dana unit amanah dengan hampir 258 bilion unit dalam edaran serta 14.4 juta akaun. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus