Ringgit ditutup kukuh berbanding dolar AS

Pada 6 petang Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.7650/7710 berbanding dolar AS daripada 4.7745/7775 ketika ditutup pada Khamis. Gambar hiasan
Pada 6 petang Jumaat, ringgit meningkat kepada 4.7650/7710 berbanding dolar AS daripada 4.7745/7775 ketika ditutup pada Khamis. Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT mengakhiri dagangan minggu ini pada kedudukan yang lebih baik berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, mungkin disebabkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama AS yang lebih rendah daripada jangkaan.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.7650/7710 berbanding dolar AS daripada 4.7745/7775 ketika ditutup pada Khamis.

Pengarah Urusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, ringgit lebih kukuh juga mungkin disokong oleh keadaan unit tempatan yang terlebih jual, harga tenaga lebih tinggi dan persekitaran risiko domestik yang agak stabil.

Ekonomi AS mencatatkan pertumbuhan 1.6 peratus bagi suku pertama berbanding unjuran konsensus pada 2.5 peratus.

Data AS semalaman juga menunjukkan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan di samping pertumbuhan lebih lemah daripada yang dijangkakan, mencetuskan penjualan aset berisiko dan lonjakan hasil Perbendaharaan AS.

"Senario ini lazimnya menimbulkan masalah bagi ringgit. Walau bagaimanapun, ringgit mengalami hari yang agak tenang dan sebenarnya ditutup sedikit lebih kukuh,” katanya kepada Bernama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan data KDNK AS yang lebih rendah daripada jangkaan boleh menimbulkan kembali harapan untuk pengurangan kadar faedah di AS.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Artikel Berkaitan:

Unit domestik meningkat berbanding pound British kepada 5.9644/9719 daripada 5.9748/9786 semasa ditutup pada Khamis, serta naik berbanding yen Jepun kepada 3.0408/0451 daripada 3.0677/0698.

Mata wang tempatan juga tinggi berbanding euro kepada 5.1157/1221 daripada 5.1211/1243 semalam.

Ringgit juga didagangkan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang negara Asean.

Unit tempatan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8902/9120 daripada 12.8939/9087 ketika ditutup pada Khamis, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.26/8.27.

Mata wang domestik juga tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 293.9/294.4 daripada 294.9/295.2 semalam dan lebih kukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.5021/5068 daripada 3.5120/5144. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!