Muafakat Nasional terbuka berbincang dengan Bersatu: Annuar

Annuar (dua kanan) meninjau persekitaran Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.
Annuar (dua kanan) meninjau persekitaran Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Muafakat Nasional terbuka mengadakan perbincangan bersama Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) ke arah kestabilan politik negara.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, negara memerlukan kerajaan yang mantap dan stabil bagi membolehkan agenda rakyat dilaksanakan.

Menurutnya, lebih baik memfokuskan langkah pemulihan ekonomi negara daripada terlalu berpolitik membincangkan soal jawatan dan pengganti Perdana Menteri.

"Walaupun Muafakat Nasional dan Bersatu mempunyai hubungan formal dalam pembentukan kerajaan namun di peringkat parti kita masih bergerak secara bersendirian.

"Kita perlu duduk semeja untuk berbincang secara langsung kerana kerjasama masih longgar. Kita mahu mencari jalan meningkatkan penyatuan dan perpaduan antara Muafakat Nasional dan Bersatu," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan media berhubung pertemuan antara Bersatu dan Muafakat Nasional yang dijangka berlangsung malam ini.

Mengulas perkara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, mesyuarat itu ditangguhkan ke hujung minggu ini disebabkan pemimpin Pas mempunyai program lain.

Menurut beliau, pertemuan itu adalah langkah baik dalam mencari titik persamaan antara parti dalam kerajaan untuk bermuafakat dalam membentuk kerajaan lebih kuat.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada pengalaman bekerjasama dalam parti politik yang berbeza tapi kita berjaya buktikan mampu bersama dengan baik di bawah Muafakat Nasional.

"Pengalaman itu boleh digunakan Muafakat Nasional bersama Bersatu namun kalau mahu bawa balik Bersatu dalam UMNO perkara itu perlu dibincangkan menerusi forum kedua-dua parti.

"Bersatu sudah ada ahli, jawatankuasa, perlembagaan dan proses pemilihan tersendiri, kita tak mahu ada sikap 'big brother' dan 'small brother'," katanya.