X

Kindly register in order to view this article
!

Hebat sangatkah ujian kita?

A
A

KEHIDUPAN di dunia ini sememangnya sarat dengan ujian. Tidak kira siapa kita, miskin atau kaya, golongan bangsawan atau rakyat jelata, pasti ada ujiannya. Setiap ujian yang dihadapi dalam hidup ini seharusnya menjadikan kita lebih kuat dan tabah.

Tidak mungkin orang beriman akan memperoleh pahala dan nikmat syurga tanpa sebarang ujian dan kesusahan. Yang membezakan antara manusia adalah bentuk ujian yang diterima.

Firman ALLAH SWT dalam al-Quran bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui ALLAH orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ujian bukan saja dirasai orang yang lemah dan miskin, ia juga melanda orang yang kuat dan kaya. Itulah fitrah kehidupan yang ditentukan ALLAH SWT. Mungkin pada saat kita menikmati keenakan durian musang king yang berharga RM45 satu kilogram termasuk kulit, masih ada insan yang kelaparan tidak makan beberapa hari. Itu juga bentuk ujian bagi mereka yang berkemampuan, sama ada ambil cakna atau tidak.

Ada pula yang kaya raya tetapi diuji dengan pelbagai penyakit. Bagi mereka ini, duit yang berlebihan banyak itu hanyalah ‘hiasan’, tidak boleh makan sup gearbox kerana ada darah tinggi, tidak dapat tidur di atas tilam berjenama mahal kerana terbaring di katil hospital. Mungkin gelandangan di kaki lima boleh tidur lebih lena berbanding golongan hartawan itu.

Apa yang penting adalah setiap ujian, sama ada berbentuk keperitan atau kenikmatan perlu merapatkan diri seseorang itu kepada Penciptanya. Ini hanya akan terjadi jika semuanya diselusuri dengan akal dan jiwa yang dekat dengan al-Khaliq, Yang Maha Pencipta. Tidak ada tempat yang selayaknya untuk kita memohon pertolongan selain daripada ALLAH SWT.

Saya teringat seorang lelaki Cina, 50 tahun, yang berasal dari Sibu, Sarawak dan menetap di Alor Gajah, Melaka. Dia mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan lelah serta paras kolesterol yang tinggi. Dia telah diserang angin ahmar sehingga terlantar dan lemah bahagian badan sebelah kiri.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dia ditinggalkan oleh isteri dan tiga anaknya selepas diserang angin ahmar. Tinggallah dirinya sebatang kara di rumah sewanya. Dia hilang segala-galanya. Sewa rumah sudah sembilan bulan tertunggak ketika itu. Bil elektrik dan air juga sudah banyak tertunggak. Hendak bekerja tiada upaya.

Bila melihat ujian yang dihadapinya, terdetik di hati, apa sangatlah ujian yang aku hadapi.

Dia mengambil keputusan memeluk agama Islam untuk mendapatkan ketenangan dan kedamaian. Dia telah disyahadahkan oleh Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Melaka, Ting Swee Keong dan disaksikan oleh beberapa AJK termasuk Setiausaha Kehormat, Nur Caren Chung Yock Lan.

Ramadan tahun ini merupakan tahun pertama dia berpuasa dan dia begitu teruja menjalani ibadat puasa. Menurutnya, dia telah mendapat ketenangan sepenuhnya setelah memeluk Islam. Alhamdulillah, segala permasalahannya dipermudahkan satu-persatu selepas itu. Pihak Majlis Agama Islam Melaka memberi bantuan makanan secara bulanan kepadanya manakala segala sewa dan bil yang tertunggak juga diuruskan Macma Melaka. Semuanya dengan izin ALLAH SWT jua.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!