Utamakan peluang pekerjaan rakyat

Gambar hiasan -Foto 12rf
Gambar hiasan -Foto 12rf
A
A
A

KADAR pengangguran di Malaysia dipengaruhi trend ekonomi negara yang terjejas teruk berikutan impak penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Jabatan Perangkaan Malaysia melalui statistik terbaru pada Mei lepas memaparkan kadar pengangguran tempatan dijangka meningkat dalam lingkungan 3.5 hingga 5.5 peratus bagi tahun 2020.

Bagi menangani kadar pengangguran yang diunjurkan tinggi itu, kerajaan telah berusaha membina benteng tersendiri bagi mempertahankan kestabilan ekonomi melalui langkah-langkah pemulihan efektif dan efisien.

Antaranya membuka sektor ekonomi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menyediakan pakej rangsangan ekonomi.

Dalam memantapkan kedudukan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata yang goyah natijah daripada peningkatan kadar pengangguran, pihak kerajaan bersama Kementerian Sumber Manusia tampil untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan buat warga setempat.

Kementerian Sumber Manusia di bawah pimpinan Datuk Seri M Saravanan turut mengambil pendirian tegas dengan membuat pengumuman pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga hujung tahun ini.

Dalam kolum lidah pengarang akhbar harian Makkal Osai, Saravanan menegaskan bahawa kini tawaran peluang pekerjaan lebih diutamakan kepada penduduk tempatan.

Kementerian beliau pula berusaha mengurangkan pekerja asing yang buat masa ini dianggarkan kira-kira dua juta orang di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik senario pengurangan pengambilan pekerja asing untuk pelbagai sektor perniagaan dan ekonomi tempatan, ia menangani masalah kebergantungan Malaysia terhadap perkhidmatan pekerja asing secara berperingkat.

Makkal Osai menjelaskan, pihak kementerian harus mengenal pasti sektor-sektor yang telah didominasi pekerja asing dan merangka pakej tawaran pekerjaan yang ditambah nilai dengan gaji lumayan bagi menggalakkan warga tempatan memburu peluang berkenaan.

Makkal Osai juga mempersoalkan ketika Kementerian Sumber Manusia mengambil langkah mewujudkan peluang pekerjaan buat warga tempatan, Ironinya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini mengesyorkan bahawa majikan dibenarkan mengambil pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di depot Jabatan Imigresen untuk bekerja di negara ini bertujuan mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Percanggahan cadangan di antara dua buah kementerian iaitu Sumber Manusia dan KDN itu menerima reaksi berbaur negatif daripada pelbagai pihak terutama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Setiausaha Agung MTUC, J Solomon pula menyatakan pihaknya berasa kesal dengan cadangan Hamzah dan KDN disebabkan ia bertentangan dengan usaha murni Kementerian Sumber Manusia.

Justeru, daripada berperang mulut tentang isu pengambilan PATI untuk sektor ekonomi, adalah lebih bermanfaat memberi fokus kepada langkah-langkah mengurangkan beban penduduk.

Akhbar Makkal Osai dalam laporannya meminta pihak berkuasa menghentikan perbincangan mengenai pekerja asing dan PATI yang sedia serta mampu bekerja untuk pendapatan agak rendah.

Kementerian Dalam Negeri sepatutnya merangka pelan pembinaan benteng pertahanan di sempadan negara bagi membendung kemasukan PATI ke Malaysia.

Kemasukan PATI ke negara ini secara tidak langsung merampas hak peluang pekerjaan dan perniagaan rakyat serta menimbulkan pelbagai gejala sosial dan jenayah.

Tindakan membenarkan pekerja PATI keluar dari depot tahanan Jabatan Imigresen bukan sahaja melemahkan kuasa undang-undang, malah mencemarkan polisi kerajaan.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor