X

Kindly register in order to view this article
!

Masih ada ibu bapa benar anak tunggang motosikal tanpa lesen

Antara penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi yang dijalankan di Jalan Sungai Buaya, Sungai Jarom.
A
A

KUALA LANGAT - Masih ada ibu bapa yang bersikap lepas tangan dengan mengabaikan undang-undang apabila membenarkan anak mereka menunggang motosikal walaupun tidak memiliki lesen yang sah.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Azizan Tukiman berkata, ia susulan ada penunggang motosikal berusia 16 tahun yang dikenakan saman dalam operasi penguatkuasaan trafik di Jalan Sungai Buaya, Sungai Jarom, Jumaat lalu.

Menurut Azizan, ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) yang membawa hukuman denda tidak kurang dari RM2000.

"Memandu kenderaan dan menunggang motosikal tanpa lesen yang sah merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 26 APJ 1987 dan kes sebegini kebiasaannya akan dirujuk terus ke mahkamah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut mengenai operasi penguatkuasaan trafik itu, Azizan berkata, pihaknya mengeluarkan sebanyak 63 saman membabitkan penunggang motosikal berusia di antara 16 hingga 24 tahun.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 22 daripadanya melibatkan kesalahan topi keledar dan 18 lagi berkaitan lesen.

"Kesalahan lain yang turut dikenakan saman ialah membabitkan cermin sisi, nombor pendaftaran, lesen kenderaan motor (LKM), memandu bawah umur dan mengabaikan lampu isyarat," katanya.

Dalam operasi saman, Azizan berkata, anggota trafik turut menyita empat buah motosikal atas kesalahan mengubahsuai kenderaan tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf