Covid-19: Kerajaan tetapkan terma baharu jual beli rumah

Zuraida - Foto: Bernama
Zuraida - Foto: Bernama
A
A
A

TAIPING - Terma baharu berhubung urusan jual beli rumah dalam pembinaan akan ditetapkan kerajaan dalam pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Covid-19 Langkah Sementara Julai nanti.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, terma baharu itu bagi menjaga kepentingan pemaju dan pembeli agar tidak membuat sebarang tuntutan ganti rugi selepas rumah tidak dapat diserahkan kepada pemilik seperti dinyatakan dalam perjanjian asal.

"Dalam hal ini kita tidak boleh hendak salahkan pemaju mahupun pembeli kerana kedua-duanya terkesan disebabkan wabak Covid-19, jadi kita akan buatkan terma baharu.

"Pada Julai nanti, apabila kita gubal Akta Covid-19, akan termaktub klausa ini di mana kedua-dua pihak tidak boleh 'sue' antara satu sama lain," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja ke Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting di sini hari ini.

Menurutnya, pada masa ini KPKT menerima hampir 800 permohonan daripada pemaju yang memerlukan lebih masa untuk menyiapkan projek perumahan masing-masing selepas hampir tiga bulan tergendala.

"Jadi pembeli juga kena terima hakikat bahawa mereka tidak boleh 'claim' ikut perjanjian asal," katanya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dilapor berkata, RUU berkenaan akan dibentangkan sesi Parlimen Julai nanti sebagai pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan bagi mengurangkan impak perundangan akibat penularan Covid-19.

Terdahulu timbul persoalan sama ada pemaju perlu terus bertanggungjawab dengan menjelaskan ganti rugi kelewatan kepada pembeli sedangkan ia tidak dapat beroperasi seperti biasa berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Artikel Berkaitan: