Datuk Seri diculik ditemukan mati dalam belukar

Mangsa berusia 55 tahun sebelum ini hilang dipercayai diculik ketika berjoging di taman permainan pada 10 Jun lalu.
Mangsa berusia 55 tahun sebelum ini hilang dipercayai diculik ketika berjoging di taman permainan pada 10 Jun lalu.
A
A
A

RAWANG - [DIKEMAS KINI] Misteri kehilangan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang dilapor hilang sejak 17 hari lalu terjawab selepas mayatnya ditemukan di tepi sebuah belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya di sini pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmad mengesahkan mangsa berusia 55 tahun sebelum ini hilang dipercayai diculik ketika berjoging di Taman Permainan, Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya pada 10 Jun lalu.

"Mangsa diculik kira-kira jam 10.30 pagi pada hari kejadian," katanya dan mengesahkan suspek ada meminta wang tebusan.

Sementara itu, seramai tujuh lelaki termasuk seorang warganegara Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan kes culik dan bunuh mangsa.

Jelas Fadzil, kesemua suspek termasuk dalang yang berusia lingkungan 30-an dan 40-an itu ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Selangor sejak jam 11 pagi.

"Mahkamah telah membenarkan permohonan reman terhadap suspek antara lima dan tujuh hari bermula hari ini (semalam) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta culik 1961,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi yang dipercayai tempat mangsa disembunyikan di Taman Kosaso di sini.

Katanya, siasatan awal polis mendapati seorang daripada suspek telah menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan S$50 juta (RM154 juta), namun tiada pembayaran dibuat.

"Mangsa juga dipercayai mengenali dalang kes ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadzil berkata, mangsa yang terlibat dalam perniagaan hartanah dipercayai telah meninggal dunia tiga atau empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang mula reput.

Katanya, punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.