Sudah boleh urut kaki, jangan lupa SOP

 Semua premis dibenarkan kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia mulai 1 Julai. Foto: 123rf
Semua premis dibenarkan kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia mulai 1 Julai. Foto: 123rf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Usaha mengekang penularan Covid-19 di Malaysia yang semakin menunjukkan perkembangan positif telah meyakinkan kerajaan untuk membenarkan lebih banyak sektor ekonomi kembali beroperasi.

Ini termasuk berita baik buat mereka yang telah lama memendam hasrat untuk 'memanjakan' diri di pusat spa, “wellness” dan urut kaki, anda boleh melakukannya mulai 1 Julai ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, semua premis berkenaan dibenarkan kembali beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia mulai tarikh itu.

Antara SOPnya ialah hanya pekerja warganegara Malaysia sahaja dibenarkan untuk bekerja di premis tersebut dan mereka juga perlu menjalani saringan Covid-19 sebelum dibenarkan beroperasi.

Selain itu, berita gembira buat pelajar sekolah dan madrasah tahfiz berdaftar turut dinantikan susulan premis berkenaan turut dibenarkan beroperasi semula berdasarkan tarikh pembukaan sekolah yang akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) nanti.

Sementara itu, turut dibenarkan dibuka semula ialah industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan & Pameran (MICE) dan pameran pelancongan serta perdagangan mulai 1 Julai ini.

Ismail Sabri berkata, bagi industri MICE, hanya 250 orang dibenarkan pada satu-satu masa dan semua pengunjung perlu memuat turun aplikasi MySejahtera bagi pendaftaran masuk.

Memasuki hari ke-17 Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, buat kali pertamanya kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 mencatat angka kurang 200 iaitu 191 kes.

Artikel Berkaitan:

Malah Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkongsi berita gembira bahawa kadar penyembuhan kes Covid-19 di Malaysia adalah antara yang tertinggi dalam kalangan negara anggota ASEAN iaitu 96.4 peratus.

Selain itu, kadar kematian Covid-19 di Malaysia juga antara yang paling rendah di seluruh dunia iaitu 1.41 peratus.

Dengan sifar kematian sejak 12 hari berturut-turut, semalam juga menyaksikan kes baharu harian telah mencapai satu angka selama empat hari berturut-turut mulai 23 Jun dengan merekodkan enam kes menjadikan jumlah kes positif 8,606 kes.

Malahan, kes harian penularan dalam negara dalam kalangan warganegara adalah kurang daripada lima kes bagi enam hari berturut-turut.

Sekalung tahniah buat rakyat Malaysia yang sentiasa memberi kerjasama padu kepada pihak kerajaan dalam usaha kita sama-sama membendung penularan jangkitan Covid-19 sehingga mencapai situasi ini.

Namun, harus diingat bahawa peperangan menghadapi virus Covid-19 masih belum tamat dan rakyat perlu terus kekal berwaspada dan terus patuh kepada SOP supaya sasaran untuk kita mencapai sifar Covid-19 menjelang Julai ini dapat direalisasikan.- Bernama