X

Kindly register in order to view this article
!

Motosikal elektrik bantu Shahriman sara keluarga

Tengku Hassan (tengah) ketika menyerahkan motosikal elektrik kepada Shahriman dan isteri, Samsu Yanti di rumah sewa mereka di Taman Jaya, di sini.
A
A

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga Cina Muslim bersyukur kerana menerima sumbangan motosikal elektrik selepas sekian lama menggunakan perkhidmatan grab untuk berulang-alik ke lokasi perniagaan burger Korea di Jalan Tekukur, Kuala Terengganu.

Muhammad Shahriman Abdullah, 31, dari Taman Jaya, di sini berkata, sumbangan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar itu membantu menjimatkan perbelanjaan pengangkutan beliau dan isteri, Samsu Yanti Rozali, 33.

“Saya tidak menyangka menerima sumbangan ini kerana memerlukan sebuah pengangkutan kerana mengalami masalah kekurangan kebolehan fizikal pada sebelah kanan badan manakala isteri pula pada sebelah kiri badan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, Samsu Yanti bersyukur kerana sumbangan itu dapat membantu menyelesaikan masalah pengangkutan yang mereka hadapi.

Samsu Yanti berkata, beliau dan suami menggunakan perkhidmatan grab ketika menjalankan perniagaan di enam lokasi berbeza sebelum ini.

“Adakalanya kami pulang ke rumah lewat malam dengan berjalan kaki kerana tiada perkhidmatan grab namun perniagaan tetap diteruskan bagi menampung keperluan hidup.

“Sudah enam lokasi perniagaan kami berpindah dan kesemuanya menggunakan perkhidmatan grab. Kalau diikutkan pendapatan seharian banyak digunakan untuk membayar tambang pengangkutan," katanya.

Pasangan berkenaan mempunyai seorang anak, Muhammad Shahrul Ridhwan Ibrahim See berusia empat tahun.

Sementara itu, Tengku Hassan berkata, beliau kagum dengan keazaman dan kecekalan pasangan itu dalam menempuhi liku kehidupan.

Selain itu, katanya, pihaknya turut menyumbang gerai jualan burger yang baharu bagi menggantikan gerai lama yang sudah uzur.

“Saya kagum, walaupun berdepan kesusahan, mereka berdua tidak mengeluh dan sentiasa berusaha mencari jalan untuk meneruskan kehidupan.

“Saya harap sumbangan ini mampu meringankan beban Shahriman untuk menyara keluarga,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf