Perak teruskan keputusan PH swastakan pengurusan sisa pepejal

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Keputusan kerajaan negeri menswastakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal merupakan kesinambungan yang diputuskan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum peralihan kerajaan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan PH membangkitkan perkara berkenaan.

“Keputusan menswastakan pengurusan sisa pepejal dibuat tahun lepas. Rakan-rakan yang sama membuat keputusan harap meneliti perkara yang sama-sama kita lakukan dahulu.

“Hari ini, Perikatan Nasional (PN) meneruskan keputusan yang dibuat oleh PH sendiri,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Program Bumi Hijau Negeri Perak di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Ditanya mengenai pemilihan syarikat dari Selangor itu, Ahmad Faizal menjelaskan bahawa syarikat tersebut berpengalaman luas dalam pengurusan dan operasi kutipan sisa pepejal serta pembersihan awam.

Ahmad Faizal menyampaikan kit bumi hijau kepada salah seorang penerima pada program Bumi Hijau Negeri Perak hari ini.
Ahmad Faizal menyampaikan kit bumi hijau kepada salah seorang penerima pada program Bumi Hijau Negeri Perak hari ini.

“Ia sebuah syarikat berpengalaman luas untuk bekerjasama dengan syarikat milik kerajaan negeri iaitu Majuperak Berhad.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnanin Abd Munaim dalam satu kenyataan mendedahkan Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari turut terlibat meluluskan syarikat sama tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, konsesi yang diberikan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan maklum balas menangani aduan yang lebih efisien dengan mewujudkan 'One Stop Center' tanpa kenaikan harga.

Semalam, Abdul Aziz mendakwa tindakan kerajaan negeri itu telah merugikan rakyat dan mengakibatkan 15 kerajaan tempatan terpinggir.

Kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) pada 3 Jun lalu telah menswastakan perkhidmatan pengurusan sisa pepejal tanpa tender terbuka.