PERWITA Perak sokong kempen antarabangsa bela tahanan wanita, kanak-kanak Palestin

IPOH – Pertubuhan Wanita Islam Perak (PERWITA Perak) menyatakan sokongan terhadap Kempen Antarabangsa Membela Tahanan Wanita Palestin bertemakan 'Kebebasan Kalian Tanggungjawab Kami' yang dilancarkan di Istanbul, Turkiye pada 20 Julai lalu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nasib wanita dan kanak-kanak Palestin yang masih ditahan.
Pengerusinya, Masthurhah Ismail berkata, di Perak, kempen itu digerakkan melalui kerjasama PERWITA Perak dengan beberapa pertubuhan bagi menghimpunkan kekuatan gerakan wanita, ulama, pertubuhan masyarakat dan rangkaian antarabangsa untuk membawa suara tahanan Palestin kepada masyarakat Malaysia.
Menurut beliau, kempen digital selama seminggu itu dipelopori oleh Jawatankuasa Al-Quds dan Palestin, Kesatuan Ulama Islam Sedunia (International Union of Muslim Scholars - IUMS), Kesatuan Wanita Palestin di Turkiye serta beberapa pertubuhan lain.
“Ia bertujuan membongkar penderitaan tahanan wanita, khususnya wanita hamil dan kanak-kanak, selain menggerakkan sokongan masyarakat antarabangsa serta meningkatkan tekanan daripada sudut undang-undang, politik dan media terhadap pencabulan hak asasi mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kempen itu dilancarkan ketika keadaan tahanan Palestin dilaporkan semakin membimbangkan.
Katanya, seorang bekas tahanan Palestin, Nusaibah Jaradat, pernah menyifatkan sel tahanan sebagai “kubur di bawah tanah, bukannya penjara”, merujuk kepada keadaan pengasingan, kekurangan cahaya matahari, kemudahan asas dan tekanan yang dihadapi tahanan.

Mengulas lanjut, Masthurhah berkata, data Palestinian Prisoner’s Society pada awal Julai lalu merekodkan seramai 99 wanita Palestin masih ditahan, termasuk tiga wanita hamil dan empat tahanan bawah umur.
Beliau berkata, sejak Oktober 2023, lebih 770 wanita dilaporkan ditahan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, manakala jumlah wanita yang ditahan dari Gaza masih belum dapat dipastikan.
“Walaupun dimaklumkan dua tahanan wanita hamil telah dibebaskan, ramai lagi wanita masih berada dalam tahanan dan angka tersebut boleh berubah dari semasa ke semasa,” katanya.
Menurut beliau, nasib kanak-kanak Palestin turut membimbangkan apabila kira-kira 350 kanak-kanak masih ditahan, kebanyakannya di Penjara Ofer dan Megiddo, manakala dua kanak-kanak perempuan dilaporkan ditempatkan di Penjara Damon.
Katanya, UNICEF turut melaporkan hampir 350 kanak-kanak dari Tebing Barat berada dalam tahanan tentera, dengan sebahagian besar belum disabitkan kesalahan dan hampir separuh berada di bawah tahanan pentadbiran tanpa pertuduhan atau perbicaraan.
Masthurhah berkata, isu tersebut bukan sekadar melibatkan konflik politik, sebaliknya menyentuh aspek kemanusiaan dan pematuhan terhadap undang-undang antarabangsa.
Beliau menjelaskan bahawa Konvensyen Geneva Keempat menetapkan tahanan berhak menerima makanan, kemudahan kebersihan dan rawatan perubatan yang mencukupi, manakala wanita hamil perlu diberikan perlindungan khusus.
“Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak pula menetapkan bahawa penahanan kanak-kanak hanya boleh dijadikan langkah terakhir dan bagi tempoh yang sesingkat mungkin, selain mereka wajib dilayan dengan penuh kemanusiaan serta menghormati maruah mereka,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat terus menyokong usaha membela tahanan wanita dan kanak-kanak Palestin melalui pendidikan, advokasi serta kempen kesedaran.
“Kami turut menggesa supaya semua tahanan wanita hamil dan kanak-kanak dibebaskan, pencabulan hak asasi dihentikan serta akses kepada rawatan kesihatan, peguam, keluarga dan badan kemanusiaan diberikan.
“Kita juga menuntut siasatan bebas terhadap sebarang dakwaan pencabulan hak serta memastikan pihak yang bertanggungjawab dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
