Pembukaan semua jajaran WCE ikut jadual

Syed Mohammed Idid memberikan taklimat mengenai perkembangan jajaran WCE sempena Media Engagement WCE Bersama Media Perak di sebuah hotel, pada Rabu.
Syed Mohammed Idid memberikan taklimat mengenai perkembangan jajaran WCE sempena Media Engagement WCE Bersama Media Perak di sebuah hotel, pada Rabu.
A
A
A

IPOH – Pembukaan keseluruhan jajaran Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dijangka dapat direalisasikan mengikut jadual iaitu pada suku pertama tahun hadapan.

Perkembangan itu sekali gus menandakan rangkaian lebuh raya sepanjang 233 kilometer (km) yang menghubungkan Banting, Selangor hingga Taiping, Perak kini berada pada fasa akhir pelaksanaannya selepas pembinaan bermula pada 2015.

Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libaturus West Coast Expressway (WCE), Syed Mohammed Idid Syed Ahmed Idid berkata, semua seksyen di Perak yang melibatkan laluan bermula di Hutan Melintang hingga Taiping Selatan telah berjaya disiapkan.

"Di Selangor pula, kebanyakan jajaran telah siap dibina dan membentuk rangkaian laluan yang berterusan, namun masih terdapat dua seksyen yang belum disiapkan iaitu Seksyen 3 dan Seksyen 7.

"Seksyen 4 sudah pun siap tetapi masih belum dibuka. Ketiga-tiga seksyen itu dijadualkan dibuka bagi melengkapkan keseluruhan rangkaian WCE," katanya ketika taklimat sempena Media Engagement WCE Bersama Media Perak di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Syed Mohammed Idid berkata, WCE turut memperkukuh infrastruktur digital melalui pemasangan menara telekomunikasi bagi meningkatkan liputan rangkaian, aspek keselamatan jalan raya serta menyokong pembangunan lebuh raya pintar pada masa hadapan.

Setakat ini, sembilan seksyen lebuh raya telah dibuka secara berperingkat melibatkan Seksyen 5, 6, 8, 9, 10, 11, 1 dan 2, manakala pembukaan baki seksyen akan melengkapkan laluan WCE dari Banting ke Taiping.

Selain menyediakan laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di lebuh raya sedia ada, WCE turut dijangka merangsang pembangunan ekonomi di sepanjang pesisir pantai barat Selangor dan Perak menerusi peningkatan aktiviti perdagangan, pelancongan serta pertumbuhan kawasan perindustrian.

Lebuhraya itu juga dihubungkan dengan beberapa lebuh raya utama termasuk SKVE, KESAS, LATAR, NKVE dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), sekali gus memendekkan masa perjalanan serta meningkatkan tahap kesalinghubungan antara kawasan utama di kedua-dua negeri.

Artikel Berkaitan:

Bagi meningkatkan keselesaan pengguna, WCE turut dilengkapi kemudahan seperti telefon kecemasan setiap dua kilometer, rondaan lebuh raya 24 jam, kawasan rehat dan rawat (R&R), surau, tandas serta kemudahan pengecas kenderaan elektrik di beberapa lokasi strategik.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!