'Kuasa bukan keistimewaan tetapi amanah yang akan dipersoalkan' - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8 bertemakan “Setiap insan dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) pada Selasa.
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan titah pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8 bertemakan “Setiap insan dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) pada Selasa.
A
A
A

IPOH – Tadbir urus yang baik dan kestabilan politik merupakan prasyarat utama untuk sesebuah negara mencapai kemakmuran.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, sesebuah negara yang memiliki sumber asli yang melimpah, rakyat berbakat serta warisan budaya yang kaya tidak bermakna sekiranya institusi negara lemah, kepimpinan gagal dipertanggungjawabkan atau politik lebih didorong oleh kepentingan diri berbanding tanggungjawab terhadap rakyat.

Menurut baginda, dalam tradisi pemikiran politik Islam, kuasa bukan satu keistimewaan, sebaliknya amanah yang wajib dipikul dan akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

"Apabila seseorang pemimpin mula melihat jentera kerajaan sebagai alat untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu, maka pemimpin tersebut bukan sahaja mengkhianati undang-undang, bahkan mengkhianati amanah yang jauh lebih besar daripada itu.

"Rasulullah SAW juga mengingatkan bahawa setiap daripada kita ialah pemimpin dan setiap pemimpin akan dipertanggungjawabkan terhadap orang yang dipimpinnya," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah ucaptama sempena Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam Sedunia (WCIT) ke-8 2026 di sini pada Selasa.

Sultan Nazrin bertitah, tadbir urus yang baik memerlukan institusi negara yang kukuh, pengurusan kewangan awam yang telus serta kedaulatan undang-undang yang ditegakkan secara adil tanpa mengira kedudukan seseorang.

Baginda turut menegaskan budaya politik matang perlu dipupuk supaya perbezaan pandangan diraikan secara beradab, pembangkang dihormati sebagai mekanisme semak dan imbang yang sah, manakala peralihan kuasa berlangsung secara aman mengikut kehendak rakyat.

Artikel Berkaitan:

Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8 bertemakan “Setiap insan dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) pada Selasa. Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat pada Persidangan Pemikiran dan Tamadun Islam (WCIT) ke-8 bertemakan “Setiap insan dihargai: Kemuliaan dan Perpaduan dalam Islam” (Everyone Matters: Pride and Unity in Islam) pada Selasa. Foto Bernama

Menurut baginda, kestabilan politik yang sebenar bukan bermaksud ketiadaan perbezaan pendapat, sebaliknya perbezaan itu disalurkan melalui institusi yang sah, bukannya melalui kekerasan atau huru-hara.

"Kegagalan mengekalkan keyakinan rakyat terhadap proses pilihan raya, kebebasan badan kehakiman dan integriti institusi awam akan menghakis kepercayaan terhadap sistem.

"Golongan yang paling awal dan paling teruk menerima kesannya ialah mereka yang miskin, terpinggir dan tidak mempunyai suara," titah baginda.

Baginda turut menekankan bahawa prinsip 'Setiap Insan Bererti' perlu bermula daripada pentadbiran kerajaan menerusi penyediaan belanjawan yang mencerminkan nilai moral serta keutamaan terhadap kebajikan rakyat.

Selain itu, baginda bertitah, perkhidmatan awam yang adil kepada semua tanpa mengira kaum, agama atau pegangan politik merupakan manifestasi sebenar perpaduan negara.

"Pemimpin yang memerintah dengan rendah hati, sedia mendengar sebelum membuat keputusan serta sentiasa menginsafi bahawa kuasa hanyalah amanah yang dipinjamkan akan lebih berjaya memupuk kesetiaan dan kebanggaan rakyat berbanding apa jua slogan.

"Ketika dunia Islam terus berhadapan dengan pelbagai cabaran, beta menyeru para pembuat dasar supaya menginsafi bahawa tadbir urus yang baik bukan suatu kemewahan yang hanya diperlukan ketika negara makmur, sebaliknya merupakan prasyarat utama untuk mencapai kemakmuran itu sendiri," titah baginda.

Terdahulu, Sultan Nazrin bertitah, tema persidangan amat bertepatan dengan legasi Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah yang sentiasa menegakkan kedaulatan undang-undang, keadilan serta meyakini kesarjanaan Islam perlu membimbing pembentukan masyarakat secara menyeluruh, termasuk aspek tadbir urus dan institusi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!