Buruh ladang maut dihempap lori dipandu remaja 15 tahun

Keadaan lori yang terbalik di bahu jalan selepas dipercayai hilang kawalan sebelum menghempap sebuah motosikal dalam kemalangan di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin pada Sabtu. – Foto IPD Rompin
Keadaan lori yang terbalik di bahu jalan selepas dipercayai hilang kawalan sebelum menghempap sebuah motosikal dalam kemalangan di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin pada Sabtu. – Foto IPD Rompin
A
A
A

ROMPIN – Seorang buruh ladang warga Indonesia maut selepas motosikal yang dinaikinya dihempap sebuah lori dalam kemalangan di Jalan Utama Ladang Kosma di sini pada Sabtu.

Mangsa, Hendrawan, 24, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan pada Selasa selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, siasatan awal mendapati lori jenis Toyota itu dipandu seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu manakala penumpangnya berusia 17 tahun.

Menurutnya, dalam jam 5.45 petang itu, lori terbabit sedang dalam perjalanan dari Perumahan Ladang Kilang Kosma menuju ke kawasan pembinaan Ladang Kosma sebelum dipercayai hilang kawalan.

"Setiba di lokasi kejadian, lori itu kemudian terbalik di bahu jalan sebelah kanan dan menghempap motosikal yang datang dari arah bertentangan.

"Pembonceng motosikal yang berusia 24 tahun, sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu lori mengalami kecederaan pada tangan dan kaki kanan manakala penumpangnya cedera pada mata kiri.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kegagalan pemandu lori mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

"Pemandu lori mempunyai lima saman atas pelbagai kesalahan, manakala kedua-dua kenderaan yang terlibat tidak mempunyai cukai jalan yang sah.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!