Bimbang kolam takungan terjejas

Abd Nasir (kanan) meninjau kolam tadahan air bersama penduduk.
Abd Nasir (kanan) meninjau kolam tadahan air bersama penduduk.
A
A
A

BALING - Kira-kira 400 penduduk dari 73 rumah di Keda Kemangi khuatir kolam takungan masyarakat di kompartmen lima tercemar sekiranya pembalakan bagi projek musang king memasuki kawasan berkenaan.

Pengerusi Air Masyarakat Kampung Keda, Wahab Husain berkata, ketika ini pembalakan telah dijalankan dalam kawasan kompartmen lima namun belum melibatkan kawasan kolam takungan penduduk.

"Selain penduduk di Keda Kemangi, sumber air sama turut disalurkan ke kolam enam lagi kawasan iaitu Kampung Kemangi, Kemangi Dalam Padang Lengkuas, Padang Dan, Tiak dan Teluk Petata.

"Jika pembalakan dibuat di kawasan kolam takungan kami, airnya akan tercemar," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian bersama penduduk dan Adun Bayu, Abd Nasir Idris meninjau kolam takungan penduduk.

Penduduk turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Abd Nasir.

Katanya, terdapat usaha menjalankan pembalakan berhampiran kawasan kolam tadahan air sebelum ini namun pihak pemaju akur dengan bantahan penduduk.

Beliau berkata, penduduk berharap kebimbangan mereka diberikan perhatian pihak berkuasa supaya kolam tadahan mereka benar-benar selamat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, implikasi lain telah ditanggung penduduk ialah mereka kehilangan sumber alam yang dijadikan mata pencarian.

"Penduduk majoritinya penoreh getah, sebelum adanya projek musang king dan berlaku pembalakan, hasil orang kampung juga bergantung pada sumber hutan seperti rotan, damar dan lain-lain.

"Sekarang hasil petai pun dah tak ada," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Air Masyarakat Keda Kemangi, Said Wahab berkata, jarak kawasan pembalakan dengan kolam tadahan kira-kira tiga kilometer.

"Jadi kita harap Adun bawa perkara ini kepada pihak atasan," katanya.