Perak cadang benar maahad tahfiz beroperasi

Mohd Akmal (dua dari kanan) ditemani Mohd Yusop meninjau keadaan hari pertama sesi persekolahan bagi pelajar Tahun 5 dan 6 di Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah, di sini hari ini.
Mohd Akmal (dua dari kanan) ditemani Mohd Yusop meninjau keadaan hari pertama sesi persekolahan bagi pelajar Tahun 5 dan 6 di Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak berhasrat membenarkan pembukaan semula maahad tahfiz atau sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) lebih awal jika mendapat kebenaran.

Exco Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, perkara itu tertakluk kepada perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah serta kelulusan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, bagaimanapun sehingga kini kerajaan negeri akur dengan ketetapan yang dibuat kerajaan Persekutuan mengenai pembukaan maahad tahfiz tersebut.

"Jika dapat dipertimbangkan serta mendapat perkenan Sultan Perak, mungkin kita akan buka lebih awal sekolah tahfiz swasta yang berdaftar di bawah JAIPk dengan syarat dibenarkan oleh MKN.

"Di Perak kita ada 116 sekolah tahfiz swasta dan 70 daripadanya sudah mendaftar dengan JAIPk manakala selebihnya masih dalam proses pendaftaran.

"Setakat ini hanya sekolah tahfiz yang mempunyai pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja boleh beroperasi," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Raja Perempuan Ta'ayah di sini hari ini.

Hadir sama pada lawatan tersebut, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Dalam perkembangan lain, Mohd Akmal memaklumkan Jabatan Mufti Perak sedang berbincang untuk membenarkan penggunaan surau Sekolah-sekolah Menengah Agama (SMAN) di negeri dijadikan Surau Diri Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perkara itu akan diperhalusi sebelum dipersembahkan kepada Sultan Nazrin untuk mendapatkan perkenan baginda.

Beliau berkata, penggunaan surau tersebut bertujuan menampung jumlah jemaah bagi solat Jumaat di masjid-masjid dan Surau Diri Jumaat di negeri ini.