100 hari Perikatan Nasional

No Image Caption
A
A
A

PADA awal bulan Jun lalu, menandakan 100 hari Malaysia ditadbir oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan itu dibentuk selepas jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) disebabkan kebuasan pimpinan tertinggi mereka untuk merebut kerusi Perdana Menteri.

Kerakusan perebutan kuasa di antara Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Pembangkang PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan rakyat muak sekali gus menzahirkan sebuah penerimaan kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Amalan biasa selepas sesebuah kerajaan yang baru dibentuk adalah menilai kesungguhan ia dalam melaksanakan janji mereka ketika pilihan raya. Penganalisis politik dan media selalunya akan menggunakan tempoh masa tertentu untuk menilai kesungguhan dan kecekapan mereka melunaskan janji pilihan raya mereka seperti 100 hari, setahun dan separuh penggal. Melalui ‘kad laporan’ begini, rakyat boleh menilai sama ada pilihan mereka berjaya atau tidak.

Dalam kes kerajaan PN, ia lahir bukan daripada pilihan raya tetapi pergolakan politik parti pemerintah yang memenangi PRU yang sah. Keruntuhan kerajaan PH akibat peletakan jawatan Dr Mahathir sendiri pada 24 Februari 2020 memaksa Seri Paduka menginstitusikan kaedah menentukan sokongan majoriti dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen.

Ini bermakna Kabinet Muhyiddin tidak mempunyai tanggungjawab moral untuk menunaikan apa-apa janji kerana mereka sendiri tidak berjanji sewaktu kerajaan dibentuk. Namun begitu, kerajaan PN yang disertai Bersatu, UMNO-BN dan Pas meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Tindakan pantas menjadikan Covid-19 sebagai musuh utama negara yang harus diperangi adalah tindakan bijak kerana rakyat mula bimbang dengan bilangan kes positif dan kematian yang meningkat. Kesudian kerajaan PN mendengar nasihat penjawat-penjawat yang pakar serta berkerjasama untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukti jelas keutamaan kerajaan PN berbanding PH.

Gagal

Penulis masih jelas mengingati bagaimana kerajaan PH yang lepas tampak begitu mengambil mudah soal Covid-19. Ada Menteri mereka bertindak angkuh dan berhujah bahawa penutupan sempadan negara hanya akan menjejaskan industri pelancongan negara. Oleh kerana kegagalan mereka menguruskan ekonomi negara, mereka seolah-olah memandang remeh penularan Covid-19 dan nyawa rakyat.

Artikel Berkaitan:

Berkat ketegasan kerajaan PN, Malaysia dinobatkan sebagai antara negara terbaik yang menguruskan penularan virus dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dipilih antara tiga doktor terbaik di dunia.

Dalam tempoh 100 hari juga, kerajaan PN telah melancarkan beberapa inisiatif untuk menyelamatkan ekonomi negara dan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan wabak Covid-19 ini. Ramai yang kehilangan punca pendapatan, pekerjaan dan ada terpaksa menutup terus perniagaan.

Melalui Inisiatif Prihatin dan Penjana yang diumumkan kerajaan PN, semua pihak dibantu agar kita semua boleh memulakan kembali ekonomi negara dan merancakkan ia untuk kita kembali kepada trajektori asal iaitu untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi.

Tuntasnya, yang paling penting dalam sesebuah kerajaan adalah kesungguhan dan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat. Parti-parti politik boleh mempunyai buku manifesto dan janji yang tebal dan berwarna-warni helaian kertasnya, tetapi tanpa iklim politik yang stabil, bakat yang kompeten sebagai pentadbir dan ‘jiwa berkhidmat’ yang ikhlas, tiada kad laporan yang sesuai untuk melaporkannya.

Tidak guna berjanji dan mempunyai laporan 100 hari atau setahun pentadbiran, jika perkara yang paling asas iaitu berkhidmat dengan sepenuh hati untuk rakyat tiada ada dalam jiwa pemerintah.

**Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia