Kutip saman RM730,930 dalam dua hari

Orang ramai mengambil peluang membayar saman semasa Hari Bersama Pelanggan IPD Kluang, semalam.
Orang ramai mengambil peluang membayar saman semasa Hari Bersama Pelanggan IPD Kluang, semalam.
A
A
A

KLUANG - Sebanyak RM730,930 hasil bayaran 6,284 saman dikutip daripada pesalah lalu lintas sempena tawaran diskaun 50 peratus ditawarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang selama dua hari bermula Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, tawaran itu bersempena program Hari Bersama Pelanggan IPD Kluang bagi memberi peluang kepada pesalah trafik bayar saman tertunggak.

"Sepanjang tempoh dua hari kaunter dibuka seawal jam 8 pagi, seramai kira-kira 1,020 pesalah trafik selesai membayar saman membabitkan keseluruhan kutipan sebanyak RM730,930 iaitu RM394,130 pada hari pertama dan RM336,800 pada hari kedua.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM472,990 dikutip membabitkan 4,530 saman daripada pesalah trafik yang melakukan pelbagai kesalahan, manakala RM257,940 daripada 1,754 kesalahan membabitkan pandu had laju serta halangan lalu lintas," katanya, semalam.

Menurutnya, kebanyakan saman yang dibayar membabitkan kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan serta saman berkaitan cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan tidak memakai topi keledar.

Bagaimanapun, katanya, tawaran diskaun tidak termasuk untuk enam jenis saman iaitu membabitkan kemalangan tahun semasa, berstatus tiada kompaun (NC), berstatus waran tahun semasa, dalam perbicaraan, berkaitan lori dan sebarang saman sempena Op Selamat tahun semasa.

"Program selama dua hari ini juga mendapat sambutan baik dan saya dapat lihat kaunter bayaran saman sesak apabila orang ramai berpusu-pusu datang menyemak dan melunaskan saman dengan diskaun sebanyak 50 peratus.

"Saya juga berpuas hati apabila pesalah trafik mengambil peluang menyelesaikan bayaran saman dalam tempoh dua hari yang ditawarkan dan saya ingin menasihati pesalah trafik supaya segera membayar saman kerana polis mempunyai dasar ‘semakin lama saman, semakin banyak yang perlu dibayar’," katanya.

Artikel Berkaitan: