Kontraktor diminta banyakkan papan tanda di Lebuhraya Pan Borneo

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar (tiga dari kanan) melakukan lawatan di jalan kilometer 22 Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu hari ini. --Foto Bernama
Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar (tiga dari kanan) melakukan lawatan di jalan kilometer 22 Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu hari ini. --Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo diminta membanyakkan pemasangan papan tanda di sepanjang laluan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar berkata, papan tanda itu penting untuk memastikan pengguna jalan raya tidak keliru dengan keadaan jalan yang masih dalam proses pembinaan.

“Selain itu polis perlu lebih kerap membuat pemantauan di kawasan jalan Lebuhraya Pan Borneo yang berisiko seperti di kawasan Kampung Kawang ini yang mana terdapat kemalangan maut berlaku di sini baru-baru ini,” katanya kepada pemberita semasa meninjau jalan berkenaan dekat sini hari ini.

Jumaat lepas, tiga maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di KM22 Jalan Papar Lama-Kota Kinabalu, yakni laluan Lebuhraya Pan Borneo yang dalam proses pembinaan.

Aidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis berkata, beliau bersama ADUN Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan ADUN Bongawan Dr Daud Yusof telah diberi taklimat oleh jawatankuasa keselamatan daripada jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Ketua Polis Daerah Papar sebelum melawat laluan lebuh raya itu.

“Melalui taklimat itu, kami berpuas hati dengan tindakan untuk meningkatkan langkah keselamatan di sepanjang laluan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo daripada Kinarut sehingga ke Papar.

“Saya juga difahamkan laluan sepanjang 10km Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh dua minggu lagi. Keseluruhan laluan bagi pakej berkenaan adalah 15.8km dan ia dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2021,” katanya.

Beliau berharap dengan pembukaan jalan sepanjang 10km Lebuhraya Pan Borneo itu ia akan melancarkan lagi perjalanan sekali gus mengurangkan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintenden Batholomew Umpi berkata, sejak Januari tahun ini empat kemalangan maut melibatkan lapan kematian berlaku di sepanjang pembinaan Lebuhraya Pan Borneo bagi pakej berkenaan iaitu dari KM5 Kota Kinabalu sehingga KM33 Papar. - Bernama