LHDN saman Najib: 'Semua perlu bayar cukai'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa kewajipan untuk membuat pembayaran sebaik sahaja seseorang itu menerima notis taksiran cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terpakai kepada semua termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Peguam Cara Hasil LHDN, Abu Tariq Jamaluddin berkata, tidak adil bagi pembayar cukai lain yang membuat pembayaran tepat pada masanya sekiranya Najib yang dinamakan sebagai defendan dalam saman, dikecualikan membayarnya.

Beliau berhujah bahawa LHDN menghantar notis sebanyak dua kali kepada defendan meminta beliau membuat pembayaran.

“Bagaimanapun, tiada permohonan daripada defendan untuk mengatur pembayaran dan oleh itu kami menfailkan saman ini untuk menuntut wang itu.

“Sekiranya tiada pembayaran, saman difailkan terhadap mereka. Ia terpakai terhadap semua pembayar cukai,” katanya semasa berhujah dalam permohonan LHDN untuk penghakiman terus terhadap Najib berhubung pembayaran cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Abu Tariq seterusnya berkata, mahkamah seharusnya membenarkan permohonan itu sebagai yang diperuntukkan di bawah Seksyen 106 (3) Akta Cukai Pendapatan 1967 (Akta 53).

"Seksyen itu menyebut dalam sebarang prosiding di bawah seksyen ini, mahkamah tidak akan melayan sebarang rayuan bahawa jumlah cukai yang dituntut untuk diperoleh itu terlampau besar, disalah nilai, di bawah rayuan atau dinaikkan secara salah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula berhujah bahawa tiada keadaan istimewa bagi mahkamah untuk membenarkan permohonan LHDN untuk penghakiman terus menerusi Perintah 14 Peraturan Mahkamah 2012.

“Plaintiff (LHDN) menghalang mahkamah daripada melihat kepada merit kes ini semasa mereka memohon penghakiman terus.

“Mereka saman kami tapi kami tidak dapat melawan kes ini (menerusi perbicaraan). Bukankah ini pencerobohan terhadap kuasa kehakiman, yang mahkamah tidak dapat berbuat apa-apa?” katanya dan menambah bahawa Perintah 14 adalah undang-undang drakonian dan Seksyen 106 (3) membangkitkan keburukan (monster) daripada undang-undang,” katanya.

Peguam itu juga mempersoalkan mengapa LHDN tergesa-gesa memohon penghakiman terus terhadap anak guamnya, dan berkata ia sama seperti menindas Najib.

“Sekiranya Yang Arif membenarkan permohonan ini, mereka (LHDN) boleh bertindak secara menindas bagi mendapatkan cukai RM1.69 bilion terhadap anak guam saya, sedangkan anak guam saya tidak berhutang walau satu sen daripada mereka,” katanya.

Hakim Datuk Ahmad Bache berkata, beliau memerlukan tempoh sebulan untuk memutuskan perkara itu.

“Saya akan maklumkan kepada pihak berkenaan seminggu sebelum tarikh keputusan,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, mahkamah menolak permohonan Najib bagi menangguhkan prosiding saman LHDN terhadapnya untuk membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion sementara menunggu rayuannya berhubung taksiran cukai kepada LHDN.

Pada 8 Ogos tahun lalu, Najib, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding saman oleh LHDN, namun LHDN dalam afidavit sokongannya berkata, Najib masih perlu membayar jumlah RM1.69 bilion itu walaupun beliau telah memfailkan rayuan berhubung taksiran cukai itu.

Penolong Pengarah Unit Pemantauan LHDN Hisyamuddin Mohd Hassan, dalam afidavit sokongannya, berkata mengikut Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, semua cukai yang ditaksir perlu dibayar pada hari notis taksiran diserahkan, sama ada orang itu mengemukakan rayuan atau sebaliknya berhubung taksiran cukai.

Pada 25 Jun 2019, kerajaan menerusi LHDN, menyaman Ahli Parlimen Pekan itu dan menuntut beliau membayar RM1.69 bilion bagi cukai pendapatan yang belum dibayar, kadar faedah lima peratus setahun dari tarikh penghakiman, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - Bernama