X

Kindly register in order to view this article
!

Fokus Covid-19, jangan pula lupa denggi: Aminuddin

Menteri Besar menyampaikan sumbangan kepada wakil penerima institusi tahfiz dan pondok Negeri Sembilan.
A
A

SEREMBAN - Masyarakat di negeri ini dinasihatkan supaya menjaga kebersihan kawasan persekitaran bagi menangani penularan demam denggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kes denggi di negeri didapati meningkat dan semua pihak perlu bekerjasama dengan memastikan tiada takungan air di kawasan persekitaran.

Katanya, sehingga tempoh ini sudah ada lima kematian direkodkan berlaku di Negeri Sembilan.

"Apabila kita terlalu fokus kepada koronavirus (Covid-19), kita jangan pula lupa mengenai jangkitan demam denggi yang kini semakin meningkat sehingga menyebabkan lima kematian di Negeri Sembilan.

"Jika didapati ada kawasan persekitaran yang menjadi punca kepada pembiakan nyamuk, mereka boleh dikenakan denda, dan jumlah kompaun juga adalah sangat tinggi, jadi semua mesti beringat untuk jaga kawasan masing-masing,"katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah-Sekolah Tahfiz di Klana Resort dekat sini hari ini.

Menteri Besar bersama penerima sumbangan.
Menteri Besar bersama penerima sumbangan.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, Datuk Mohammed Husein dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malik.

Sementara itu, pada program tersebut, kerajaan negeri meluluskan bantuan RM402,000 kepada 52 institusi tahfiz yang berdaftar dengan Persatuan Institusi Tahfiz dan Pondok Negeri Sembilan (PINTAS).

Selain itu, kerajaan negeri juga meluluskan bantuan sebanyak RM 96,500 kepada institusi tahfiz dan sekolah agama swasta yang tidak mendaftar dengan PINTAS.

"Sebelum negara dilanda Covid 19, kita sempat meluluskan bantuan kepada beberapa sekolah agama dan tahfiz yang melibatkan peruntukan sebanyak RM 430,000.

"Di antaranya kepada sekolah Maahad Ahmadi Gemencheh. Saya rasa berbangga dengan pencapaian sekolah ini kerana telah berjaya menjadi sekolah terbaik di Malaysia dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama (STAM)," kata beliau.

Aminuddin menambah, sehingga kini kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM907,000 kepada semua institusi tahfiz dan sekolah-sekolah agama seluruh Negeri Sembilan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus