Buruh didakwa tetak ejen insurans, rompak wanita

Kok Chin (baju kuning) didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan rompakan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Kok Chin (baju kuning) didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan dan rompakan di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan dan melakukan rompakan pada 7 Jun lalu.

Tertuduh, Lee Kok Chin, 33, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki dengan menggunakan sebilah pisau iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Marina Island, Lumut kira-kira jam 11.30 pagi.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda atau sebat.

Kok Chin turut didakwa melakukan rompakan terhadap seorang wanita berusia 41 tahun dengan membawa lari kereta Proton Saga BLM dinaiki mangsa yang diparkir hadapan sebuah bank di Sitiawan pada jam 12.15 tengah hari.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman dan Liyana Zawani Mohd Radzi manakala tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan berjumlah RM9,000 dan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu serta menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Pada 8 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan kejadian seorang lelaki parah akibat ditetak rakannya menggunakan pisau selepas berlaku perselisihan faham berkaitan pembelian insurans di sebuah rumah di Marina Villa.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera di muka dan tangan telah menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.