Covid-19: 16 kes baharu, tiada kematian

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 16 kes baharu positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 8,572 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, tiga kes membabitkan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan selebihnya melibatkan penularan tempatan.

Menurutnya, daripada 13 kes penularan di dalam negara, sembilan kes adalah bukan warganegara manakala hanya empat kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

"Bagi kes jangkitan dalam negara melibatkan warga asing, dua kes adalah kontak rapat kepada kes positif Covid-19 (kes ke-8513) di mana kesemua mereka adalah daripada Kluster Syarikat Pembersihan, enam kes daripada Kluster Pedas dan satu kes daripada saringan tahanan di Pusat Tahanan Sementara Tawau sebelum penghantaran pulang ke Indonesia.

"Jangkitan dalam negara yang melibatkan rakyat tempatan pula adalah dua kes merupakan daripada Kluster Kidurong dan masing-masing satu kes melibatkan saringan Orang Kena Tuduh (OKT) yang baru dimasukkan ke lokap di Melaka dan saringan pra pembedahan di hospital di Johor," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 10 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 8,156 kes.

Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 hari ini menurun kepada 295 kes.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian kekal 121 orang," katanya.

Artikel Berkaitan: