Pasar raya diarah tutup gagal patuhi SOP

Pasukan menjalankan pemeriksaan pematuhan SOP PKPP mendapati sebuah pasar raya gagal mematuhi dan diarahkan tutup semalam.
Pasukan menjalankan pemeriksaan pematuhan SOP PKPP mendapati sebuah pasar raya gagal mematuhi dan diarahkan tutup semalam.
A
A
A

TAIPING - Sebuah pasar raya di sini diarahkan ditutup serta-merta berikutan tiada kawalan seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) walaupun pihak pengurusan menyediakan buku dan alat bacaan suhu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, arahan itu dikeluarkan hasil pemeriksaan bersama pegawai Kementerian Kesihatan, Majlis Perbandaran Taiping, Rela dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di kawasan pentadbiran Balai Polis Aulong pada jam 3.45 petang.

“Pasukan membuat pemeriksaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan mendapati premis itu gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Premis itu menyediakan buku dan alat bacaan suhu pelanggan tetapi tiada kawalan menyebabkan ramai pelanggan tidak mencatat nama dan mengambil bacaan suhu sebelum memasuki pasar raya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, premis itu turut dikenakan kompaun yang dikeluarkan oleh KKM.

“Premis berkenaan di arah tutup di bawah Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan kompaun dikenakan di bawah Seksyen 22(b) akta yang sama.

“Pasar raya tersebut akan dibenarkan beroperasi selepas pemilik mengambil tindakan memenuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan: