Kanak-kanak lemas dalam sungai

Penduduk melihat kawasan di mana mangsa lemas di Sungai Ketil. (Gambar kecil: Muhammad Danish Iman)
A
A

BALING - Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas dalam Sungai Ketil kira-kira lima meter dari rumahnya di Kampung Bawah Gunung, hari ini.

Mangsa, Muhammad Danish Iman Zefry baru berusia setahun tiga bulan dikatakan tergelincir dari tebing sungai dalam kejadian jam tiga petang.

Kanak-kanak itu akhirnya ditemui tersangkut pohon buluh oleh penduduk kampung.

Kakak mangsa, Nur Delisya Zulaikha,9, berkata, adiknya tiba-tiba hilang dan dia tidak tahu bila kanak-kanak keluar dari rumah.

Menurutnya, ketika itu hanya ada ayahnya, Zefry Puteh, 35, dalam rumah manakala ibu, Mariyae Awang, 37, keluar bekerja di sebuah kedai makan di pekan Baling.

Katanya, dia ketika itu pula sedang bermain bersama abang, Muhamad Danish Fitri dan adiknya Nurdania Maisara masing-masing berusia 10 dan tiga tahun .

"Bila sedar adik hilang, kami cari sekitar rumah dan tebing sungai tetapi tak jumpa," katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Yusof Md Rejab, 55, berkata, dia sedang mandi bersama anaknya kira-kira 100 meter dari rumah kanak-kanak itu sebelum melihat objek kaku tersangkut di pohon buluh.

"Waktu itu saya juga sedang bersihkan sampah, tiba-tiba ternampak objek seperti kanak-kanak sudah kaku.

"Saya cepat-cepat angkat dan dapati kanak-kanak itu wajahnya kebiruan dan sudah tidak bernafas," katanya.

Mangsa dihantar ke Hospital Baling sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut.