Klopp bimbang Liverpool kempunan

Jurgen Klopp
Jurgen Klopp
A
A
A

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui ada beberapa ketika sebelum ini dia bimbang The Reds terlepas peluang menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun akibat wabak Covid-19.

Ketika Liverpool dilihat semakin menghampiri trofi kejuaraan, ancaman penularan Covid -19 yang melanda seluruh dunia menyebabkan saingan EPL terpaksa ditangguhkan pada pertengahan Mac lalu.

Penangguhan saingan EPL ketika itu menimbulkan pelbagai spekulasi dan khabar angin termasuk kemungkinan ia dibatalkan sehingga mencetuskan reaksi kurang senang di kem Liverpool.

"Saya tidak pernah terfikir apabila kami melalui perintah berkurung. Oh Tuhan, ia adalah musim kami, kami sudah semakin hampir menjulang trofi kejuaraan EPL.

"Saya mula bimbang pada ketika orang mula bercakap mengenai bola sepak (EPL) akan terbatal dan tidak sah. Saya sangat merasainya secara fizikal. Ia sesuatu yang amat-amat sukar diterima," katanya.

Begitupun, segala keresahan Klopp dan anak-anak buahnya hilang serta-merta apabila pihak LIga Perdana memutuskan untuk kembali menyambung saingan EPL mulai awal pagi Khamis lalu.

"Kami sangat gembira selepas diputuskan kami boleh bermain semula dan kini kami akan mengharunginya. Apa pun ia tetap akan menjadi sangat sukar bagi tempoh beberapa minggu akan datang.

"Tapi kami akan tetap meneruskan misi asal dan melihat apa yang akan kami raikan nanti. Ia hanya akan menjadi penting apabila semuanya menjadi kenyataan," jelas Klopp.

Artikel Berkaitan:

Dengan hanya dua lagi kemenangan untuk ditabalkan selaku juara, Liverpool perlu terlebih dulu melepas halangan Everton di Goodison Park awal pagi esok sebelum menoktahkan misi mereka ketika berdepan Crystal Palace di Anfield awal pagi Khamis nanti.