Kecoh di Pos Lenjang: Maznah akui terkejut

Maznah (duduk) ketika bersemuka dengan Tengku Zulpuri (merah) dalam klip rakaman yang tersebar sejak tengah malam tadi.
Maznah (duduk) ketika bersemuka dengan Tengku Zulpuri (merah) dalam klip rakaman yang tersebar sejak tengah malam tadi.
A
A
A

LIPIS - Ketua Penerangan Umno Bahagian Rompin, Datuk Seri Maznah Mazlan antara mereka yang terlibat dalam isu membabitkan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji.

Dalam klip rakaman berdurasi lima minit sembilan saat yang tersebar sejak tengah malam tadi memaparkan Timbalan Menteri terbabit bersemuka dengan Maznah dengan beberapa individu lain daripada kedua-dua parti, BN dan PH.

Ketika dihubungi Sinar Harian sebentar tadi, bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu mengakui terkejut dengan tindakan Tengku Zulpuri yang disifatkan satu tindakan tidak wajar dan gagal mengawal diri.

Menceritakan situasi tersebut, Maznah memberitahu ketika kejadian beliau sedang menyiapkan diri selepas berehat seketika di sebuah homestay bersama rakan-rakan jentera kempen yang lain.

"Saya sedang bersiap dan kemudian dipanggil keluar kerana ada orang ingin berjumpa.

"Rupanya Timbalan Menteri terbabit (Tengku Zulpuri) dan beliau berulang kali menyebut perkataan 'kurang ajar' kepada kami.

"Mungkin beliau ingin kami membalas secara agresif tetapi kami memilih bersikap tenang," dakwanya lagi.

Ujarnya, beliau cuba menenangkan Tengku Zulpuri yang juga Ahli Parlimen Raub itu namun gagal.

Artikel Berkaitan:

"Saya ada meminta beliau (Tengku Zulpuri) supaya bertenang dan gagal memberikan penjelasan lebih terhadapnya," katanya.

Dalam klip rakaman itu, Tengku Zulpuri dilihat mempersoalkan tindakan jentera BN yang menyelak bendera di sebuah kenderaan 4x4 terbabit.

Ditanya tindakan tersebut, Maznah memberitahu ia sebagai usaha mendapatkan bukti kukuh.

"Terbukti mereka telah menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen sedangkan PH sentiasa menegaskan mereka bersih dan sentiasa menuduh BN dengan pelbagai tuduhan.

"Tindakan menyelak bendera di kenderaan terbabit untuk membuktikan anggapan sama ada ia aset kerajaan atau tidak sehinggakan menimbulkan kemarahan kepada beliau. Saya terkejut kerana penyalahgunaan jentera kerajaan seolah-olah perkara yang tidak serius bagi mereka," ujarnya.

Dalam pada itu,Maznah juga mempersoalkan sama ada pemandu kenderaan itu kakitangan jabatan terbabit atau tidak kerana jika benar,ia satu penganiayaan mereka.

"Dan kalau bukan mereka kakitangan jabatan itu, bagaimana mereka boleh memandu kenderaan tersebut sesuka hati menggunakan aset kerajaan," tegasnya.

Menurutnya, laporan polis dibuat selepas hasil perbincangan bersama dan merujuk kepada Ketua Bahagian Rompin, Datuk Seri Hasan Ariffin dan selain dua laporan polis oleh calon BN, Ramli Mohd Nor, Setiausaha Bahagian Rompin, Zahari Mohamad turut bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Koyan kira-kira jam 4.30 pagi tadi.

Ujarnya,beliau juga berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lain-lain pihak menyiasat dan bertindak dengan isu penyalahgunaan aset kerajaan itu dan tidak hanya sekadar membuat kenyataan "memandang serius" dengan perkara terbabit.