Rugi RM50,000 ditipu 'Asisten Komisioner'

Gambar kecil: Noorzainy
Gambar kecil: Noorzainy
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian RM50,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 53 tahun itu dihubungi seorang wanita yang mengaku sebagai penguatkuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, wanita tersebut memberitahu mangsa syarikat miliknya di Kelantan mempunyai tunggakan cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan perlu dijelaskan secepat mungkin.

"Mangsa yang terkejut memberitahu dia tidak pernah memiliki sebarang syarikat. Kemudian, panggilan disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kononnya untuk laporan atas talian dibuat.

"Setelah 'disoal siat' oleh suspek yang mendakwa berpangkat Asisten Komisioner itu, mangsa telah memberikan maklumat akaun bank serta kata laluan seperti yang diminta bagi siasatan dijalankan ke atas akaun mangsa. Suspek memberitahu akaun mangsa terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram," katanya ketika dihubungi tadi.

Tambahnya, mangsa juga menyerahkan nombor TAC kepada suspek yang mendakwa dirinya sebagai pegawai polis itu.

"Mangsa dilarang atau diugut supaya tidak menceritakan perkara tersebut kepada sesiapa. Bagaimanapun, dia menyedari ditipu selepas menerima notifikasi melalui emel terdapat pindahan wang dari akaun bank miliknya.

"Dia yang mula curiga terus membuat semakan dengan bank dan mendapati wangnya sudah dipindahkan ke akaun bank milik individu tidak dikenali,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berlainan, seorang penganggur ditipu RM13,000 oleh sindiket Macau Scam semalam.

Noorzainy berkata, wanita berusia 23 tahun itu telah berkenalan dengan seorang lelaki di Instagram pada awal Mei lalu.

"Suspek memberitahu mangsa bahawa dia akan menghantar barangan berjenama sebagai hadiah sempena hari ulang tahun kelahiran dan kerana terlalu teruja, mangsa terperdaya dengan panggilan yang diterima dari 'ejen kurier' menyatakan barangan tersebut sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Mangsa terus membuat pemindahan wang ke dalam satu akaun bank berjumlah RM13,000 sebagai bayaran untuk pelepasan barangan yang bakal diterima," katanya.

Noorzainy berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa membayar baki bayaran berjumlah RM50,000 kononnya untuk bayaran dokumen berkaitan kandungan bungkusan tersebut.

Tambahnya, menyedari dirinya ditipu, mangsa telah membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.