Duit raya online satu petaka?

A
A
A

SUDAH jadi lumrah umat Islam di Malaysia memberi `duit raya’ ketika tetamu berkunjung ke rumah waktu Aidilfitri.

Aidilfitri tahun ini unik caranya kerana `duit raya’ dimasukkan terus menerusi kiriman online ke akaun peribadi.

Ada yang berkongsi pengalaman menerima wang raya menerusi kiriman online dalam Facebook atau Instagram masing-masing.

Ada yang lebih berani meminta nombor akaun bank ibu bapa di kampung menerusi Whatsapp semata-mata memberi sumbangan raya menerusi kiriman online.

Larangan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri, selepas pandemik Coronavirus 2019 (Covid-2019), telah membentuk satu normal baharu.

Ramai yang tidak berpeluang pulang kampung untuk berhari raya, telah menghadiahkan duit raya kepada anak saudara atau anak sahabat handai mengguna transaksi secara di atas talian untuk menghantar wang terus ke dalam akaun bank ibubapa.

Penulis turut terkena tempias normal baharu ini. Beberapa hari sebelum lebaran, beberapa anak saudara telah meminta penulis mengirim `duit raya’ ke dalam akaun masing-masing.

Nombor akaun turut ditulis di dalam WhatsApp tersebut. Penulis akui pemindahan wang secara perbankan internet sangat mudah dan cepat bagi tujuan pemberian duit raya.

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan bank di Malaysia telah pun menyediakan kemudahan pelbagai pakej platform secara online seperti ‘e-DuitRaya’, ‘e-wallet’, ‘basic wallet’ dan ‘premium wallet’.

Mereka tidak mempunyai cara lain untuk menghadiahkan duit raya kepada anak-anak saudara atau anak-anak rakan taulan mereka selain menggunakan transaksi secara dalam talian melalui akaun bank ibu-bapa mereka atau terus kepada akaun bank anak-anak itu sendiri.

Bagaimanapun, secara tidak sedar, kita membuka `window of opportunity’ kepada penyangak siber. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), scammers bergerak cergas memerangkap beratus ribu rakyat Malaysia menerusi pelbagai pakej penipuan terancang.

Ramai yang terpedaya dengan skim penipuan terancang menerusi skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Scammer

Penulis tidak menafikan bahawa amalan pemberian secara ikhlas bersedekah amat digalakkan ALLAH SWT sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Munaafiquun ayat 10-11 yang berbunyi “Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada mu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: Ya Tuhanku, mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang salih?; Dan ALLAH sekali-kali tidak akan menangguhkan (kematian) seseorang apabila datang waktu kematiannya. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Apapun, rakyat Malaysia harus sentiasa berwaspada kepada tipu muslihat scammer yang sentiasa mengambil kesempatan mengaut keuntungan berjuta ringgit.

Sepanjang tempoh PKP dan PKPB, scammer ‘menghadiahkan’ topeng muka berselindung atas nama frontliner. Apa yang berlaku, scammer merompak mengguna modus operandi ‘online hijacking’. Penulis juga ada pengalaman peribadi kerugian sehingga RM30,000 gara-gara penghantaran parcel.

Merujuk kepada Surah Saba’ ayat 33-37, penulis berharap rakyat Malaysia tidak mudah mendedahkan maklumat sulit peribadi di alam maya.

Terkini, taktik terbaharu sebagaimana diceritakan netizen ialah menerima panggilan dan pesanan ringkas daripada seseorang yang menyamar sebagai ‘pegawai bank’ meminta Transaction Authorisation Code (TAC).

Kononnya, untuk memulangkan semula ‘duit raya’ yang tersalah hantar di dalam akaun. Ternyata scammer daripada semasa ke semasa sentiasa mencari helah tertentu termasuk mengguna `hijacking technology’ untuk merompak di siang hari.

Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan agar memperbaharui teknologi keselamatan siber atau ‘cyber security’ secara konsisten, sindiket penyangak siber akan sentiasa dihadiahkan ‘durian runtuh’.

Scammer akan memperoleh keuntungan berlipat ganda. Sepanjang 2019, kerugian RM410.6 juta membabitkan 8,489 kes penipuan direkodkan berlaku sepanjang tahun lalu hingga Ogos, akibat kegiatan jenayah scammer.

Di Amerika Syarikat, sehingga April lalu sejak bermulanya pandemik Covid-2019, penduduk negara tersebut kerugian AS$13.4 juta (RM57.12 juta).

Kesimpulannya, pendedahan nombor akaun di dalam alam maya harus diminimumkan bagi mengelakkan kerugian besar. Rakyat Malaysia harus menghayati pepatah lama iaitu perangkap tidak pernah lupakan pelanduk.

* Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor