Jemaah solat Jumaat di 38 masjid Selangor ditambah kepada 150 orang

Kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menambah jumlah jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat di 39 masjid di negeri ini bermula esok.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat di 38 masjid yang dibenarkan sebelum ini ditambah daripada 40 kepada 150 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

Menurut beliau, jumlah kehadiran jemaah solat Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam ditambah daripada 40 kepada 250 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasanya.

"Masjid-masjid di seluruh negeri ini yang di dalam mukim dikategorikan sebagai zon hijau pula dihadkan seramai 40 jemaah tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid," katanya di sini hari ini.

Mohamad Munir berkata, pelaksanaan solat berjemaah bagi tiga waktu iaitu solat Subuh, Maghrib dan Isyak pula dihadkan kepada 150 jemaah dan masjid negeri pula seramai 250 dengan masing-masing tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid.

"Jumlah kehadiran jemaah bagi tiga waktu solat itu di seluruh masjid di negeri ini di dalam mukim yang dikategorikan sebagai zon hijau pula dihadkan seramai 40 jemaah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, semua surau di seluruh negeri Selangor termasuk Surau Kebenaran Solat Jumaat masih tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan tiga pegawai surau yang dibenarkan untuk melaksanakan solat fardu seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Justeru, katanya, Sultan Sharafuddin menitahkan setiap jemaah wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, pemakaian pelitup muka ketika hadir di masjid dan mengamalkan penjarakkan sosial.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan semua pihak hendaklah mematuhi garis panduan lain yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Mengulas lanjut berhubung perlaksanaan ibadah korban, Mohamad Munir memaklumkan, hasil perbincangan Sultan Sharafuddin dengan Pengarah JAIS menetapkan ibadah itu boleh dilaksanakan di seluruh negeri ini yang berada di zon hijau.

"Ibadah korban tidak boleh dilakukan di surau-surau dan orang ramai digalakkan untuk melakukan korban di kawasan masjid-masjid yang dibenarkan," katanya.