X

Kindly register in order to view this article
!

Wujudkan peluang pekerjaan untuk OKU sepanjang PKPP

Puvaniten (dua dari kiri) menyerahkan bantuan barangan keperluan harian untuk warga cacat penglihatan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), George Thomas di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia di Kuala Lumpur di sini hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disarankan supaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Biro Perpaduan Nasional Parti Gerakan, H Puvaniten berkata, sekiranya peluang pekerjaan bagi golongan OKU dapat diwujudkan, ia sudah tentu dapat membantu kehidupan seharian mereka.

Menurutnya, usaha mewujudkan peluang pekerjaan bagi golongan OKU harus dipikul semua pihak termasuk kerajaan dan agensi-agensi negeri.

"Kebanyakan golongan OKU seperti cacat penglihatan, rezeki mereka terjejas berikutan penutupan perkhidmatan pusat urut. Situasi mereka lebih sukar untuk mencari pekerjaan lain berbanding dengan OKU lain.

"Mungkin kerajaan boleh mencari alternatif yang lain untuk golongan OKU ini mencari nafkah sampingan yang lain. Komuniti yang cacat penglihatan ini tidak dapat menjana pendapatan disebabkan kerajaan masih melarang perkhidmatan urut dan refleksologi daripada beroperasi seperti biasa," katanya.

Puvaniten berkata demikian ketika Majlis Penyerahan Bantuan Barangan Keperluan Harian kepada Golongan Cacat Penglihatan di Kompleks Persatuan Orang Buta Malaysia di Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sebelum ini kerajaan prihatin di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhiyiddin Yassin menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) telah memberi tumpuan secara 'one-off' terhadap golongan OKU dan ibu tunggal.

Jelasnya, bantuan kewangan yang diberikan terhadap golongan OKU jelas menunjukkan kerajaan di bawah Perdana Menteri terus komited untuk membela setiap kelompok masyarakat Malaysia dan memastikan setiap individu mendapat manfaat daripada kesejahteraan ekonomi negara.

"Mungkin ada alternatif lain yang boleh diwujudkan oleh pihak kerajaan bagi membantu golongan ini memperoleh peluang pekerjaan yang lain.

"Diharapkan pihak kerajaan dapat mewujudkan peluang yang sama bagi masyarakat yang cacat penglihatan untuk menjana pendapatan dalam tempoh yang sukar ini agar mereka dapat terus menikmati kualiti hidup yang sama dengan golongan yang lain dalam mendepani wabak koronavirus (Covid-19) ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!