Warga emas maut selepas melecur dalam kebakaran

Kebakaran rumah kedai yang berlaku malam semalam.
Kebakaran rumah kedai yang berlaku malam semalam.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang warga emas yang melecur selepas terbabit kebakaran di Jalan Arumugam Pillai di sini malam semalam meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital petang tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, mangsa, Chan Kim Weng, 61, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Bukit Mertajam kira-kira jam 3.50 petang tadi.

Menurutnya, dalam kebakaran malam semalam, mangsa yang tinggal di dalam kedai kimpalan besi berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba.

"Bagaimanapun, ketika diselamatkan mangsa mengalami melecur 70 peratus di bahagian badan.

"Mangsa telah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam dan ditempatkan di zon merah wad kecemasan bagi menerima rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati rumah kedai yang terbakar milik bapa saudaranya yang menjalankan perniagaan kimpalan besi.

"Hasil temubual dengan bapa saudara mangsa mendapati mangsa tinggal di kedai tersebut sejak 10 tahun yang lalu.

"Mangsa tumpang di kedai tersebut dan tidak bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Baru-baru ini mangsa telah dihalang oleh bapa saudaranya untuk tinggal dalam kedai tersebut, namun tidak dihiraukan dan terus tinggal di dalam kedai tersebut," katanya.