Warga emas maut, motosikal bertembung MPV

Hasil rakaman kamera papan pemuka Alza motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah bertentangan telah masuk ke laluan MPV terbabit. - Foto Ihsan PDRM
Hasil rakaman kamera papan pemuka Alza motosikal yang ditunggangi mangsa dari arah bertentangan telah masuk ke laluan MPV terbabit. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 15, Jalan Lipis-Benta, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.49 tengah hari itu, mangsa, Mustapa Mhd Zin, 65, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor memberitahu, kejadian melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan MPV jenis Perodua Alza.

Menurutnya, menerusi rakaman kamera papan pemuka Perodua Alza mendapati, pemandu MPV berusia 36 tahun bersama isteri dan tiga orang anaknya dari arah Benta menghala ke arah Lipis dalam perjalanan ke Kuala Krau, Temerloh.

"Apabila sampai di tempat kejadian, sebuah motosikal dari arah bertentangan masuk ke laluan Alza lalu bertembung secara berhadapan.

'"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Alza dan keluarganya tidak mengalami kecederaan," kata beliau dalam kenyataan pada Selasa.

Ujar Azli, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.