Pemandu lawan arus dakwa tersalah jalan

Satu rakaman video tular di media sosial yang mana sebuah kereta Proton Saga putih didapati dipandu melawan arus di Jalan Sungai Pinang, Jelutong pada Isnin lalu.
Satu rakaman video tular di media sosial yang mana sebuah kereta Proton Saga putih didapati dipandu melawan arus di Jalan Sungai Pinang, Jelutong pada Isnin lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan seorang pemandu kereta Proton Saga berwarna putih berhubung satu video mengenai sebuah kereta yang dipandu melawan arah di Jalan Sungai Pinang, Jelutong semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, warga emas berusia 61 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada jam 2.30 petang.

Menurutnya, ketika ditahan, lelaki tersebut dalam keadaan normal dan tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

"Kita telah menahan lelaki tersebut dan hasil siasatan awal, warga emas tersebut mengaku telah tersalah jalan.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengetahui sama ada benar dia tersalah jalan atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Sinar harian, hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman 'dash cam' yang memaparkan sebuah Proton Saga berwarna putih dipandu melawan arus di Jalan Sungai Pinang, Jelutong di sini.

Insiden itu dipercayai berlaku pada Isnin lalu, kira-kira jam 2.40 petang.

Dua buah kereta lain yang turut memandu di jalan tersebut terkejut namun sempat memperlahankan kenderaan mereka bagi membiarkan kereta berkenaan bergerak.

Artikel Berkaitan:

Rakaman video itu dimuatkan dalam laman Facebook dengan mendakwa pemandu kereta tersebut mungkin berada di bawah pengaruh alkohol.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya atau melulu.