Moratorium bayaran balik pinjaman kewangan hingga Jun dianggar RM40b

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Moratorium bayaran balik pinjaman institusi kewangan sejak berkuat kuasa pada 1 April 2020 hingga 12 Jun 2020 dianggarkan berjumlah RM40 bilion, menurut Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana), Kementerian Kewangan.

Moratorium yang dianggarkan berjumlah RM100 bilion itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merancakkan ekonomi negara semasa menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19).

Laksana dalam kenyataan hari ini berkata, bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima 191,000 rayuan antara 11 dan 31 Mei lepas dengan 181,000 daripada permohonan itu telah diluluskan.

“Jumlah pembayaran BPN yang terlibat ialah RM162 juta yang akan dibayar sekali gus pada akhir Jun,” kata kenyataan itu.

Bagi Geran Khas Prihatin yang diumumkan untuk membantu perniagaan, sebanyak RM1.46 bilion akan dibayar kepada 488,587 pemohon yang diluluskan pada 31 Mei 2020.

“Sementara itu, bagi 35,859 permohonan yang telah lulus selepas disemak lanjut pada 5 Jun, pembayaran akan dibuat mulai 29 Jun yang bernilai RM107.57 juta. Setiap permohonan lulus akan menerima geran RM3,000,” katanya.

Dalam pada itu sehingga 12 Jun, sebanyak RM4.08 bilion telah diluluskan kepada 295,265 majikan yang memanfaatkan lebih 2.31 juta pekerja iaitu peningkatan RM80 juta daripada minggu sebelumnya di bawah program subsidi upah dan subsidi upah ditambah baik.

Laksana berkata, bagi Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sehingga 12 Jun, sebanyak 31,400 permohonan telah diterima dengan kelulusan kepada 7,194 permohonan bernilai RM47.9 juta bagi caruman KWSP majikan, meningkat berbanding RM42.9 juta minggu lepas.

Artikel Berkaitan:

“Bagi dana Pinjaman Mudah PKS yang dikendalikan Bank Negara Malaysia, permohonan yang telah diluluskan oleh bank-bank tempatan dan disetuju terima oleh PKS (perusahaan kecil dan sederhana) sehingga 12 Jun ialah RM7.8 bilion.

“Ini akan memanfaatkan 18,449 PKS. Jumlah ini termasuk dana Kemudahan Bantuan Khas dan Kemudahan Agromakanan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Laksana akan terus memantau pelaksanaan pakej Prihatin.

“Pelaporan bagi inisiatif-inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pula akan dibuat setelah ia dimulakan secara berperingkat,” katanya. - Bernama