Sokongan institusi kewangan penting bagi kejayaan NIMP 2030

Tengku Zafrul (dua dari kiri) dan Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein (kiri) pada majlis Anugerah Institusi Kewangan/Institusi Kewangan Pembangunan dan PKS 2022 CGC ke-28 di Kuala Lumpur, pada Jumaat. - Foto Bernama
Tengku Zafrul (dua dari kiri) dan Pengerusi CGC, Datuk Mohammed Hussein (kiri) pada majlis Anugerah Institusi Kewangan/Institusi Kewangan Pembangunan dan PKS 2022 CGC ke-28 di Kuala Lumpur, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PIHAK seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC), kalangan institusi kewangan dan institusi kewangan pembangunan digesa membantu perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor pembuatan dan eksport utama, sekali gus merealisasikan agenda Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Ketika membuat gesaan itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ini akan turut membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) meningkatkan sumbangan masing-masing terhadap ekonomi Malaysia.

"Saya mempelawa CGC, institusi kewangan dan institusi kewangan pembangunan ini untuk secara proaktif menyalurkan sebahagian daripada sumber (jaminan dan pembiayaan) bagi sektor seperti aeroangkasa, kimia/petrokimia, ekonomi digital, produk elektrik dan elektronik (E&E) serta farmaseutikal bagi membantu MITI melaksanakan pembaharuan bagi industri pembuatan.

"Ini akan turut membantu usaha transformasi sektor pelaburan dan eksport serta meletakkannya dalam arus pertumbuhan sosioekonomi yang lebih mampan,” katanya pada majlis Anugerah Institusi Kewangan/Institusi Kewangan Pembangunan dan PKS 2022 CGC ke-28 di Kuala Lumpur, pada Jumaat.

NIMP 2030 bermatlamat untuk membangunkan rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, mengukuhkan kluster industri dan mewujudkan tenaga kerja inklusif dalam menjamin ekonomi dan keterangkumannya.

PMKS menyumbang 37.4 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia serta 11.7 peratus kepada jumlah eksport negara.

Tengku Zafrul berkata, PMKS yang mewakili 97.4 peratus daripada keseluruhan perniagaan yang berdaftar di negara ini, juga berpeluang meraih manfaat daripada rantaian bekalan global industri bernilai tinggi selain menjadi antara cara pantas bagi menjana pertumbuhan secara meluas di Malaysia.

PMKS juga, katanya, berpotensi meraih manfaat daripada ekonomi hijau Asia Tenggara yang dianggarkan bernilai US$200 bilion menjelang 2024 dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan pengeluar dan pengeksport yang lebih besar.

Menurutnya, sektor penting lain yang akan menjadi tumpuan penggalakan dan dimajukan oleh MITI adalah penyahkarbonan, tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik, tenaga hidrogen, penangkapan karbon berskala besar, penggunaan dan penyimpanan serta teknologi berkaitan ekonomi kitaran, pembuatan dan infrastruktur hijau.

"Sekiranya kita dapat menggerakkan pasukan pemain industri lebih besar yang merangkumi syarikat multinasional dan PKS untuk berada dalam ekosistem ekonomi hijau, ini akan memudahkan lagi usaha mencapai sasaran sifar bersih yang lebih awal daripada 2050.

"Selain itu, usaha pembiayaan untuk PKS membangunkan aspek kapasiti alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) juga dapat membantu mereka untuk terus kekal dalam rantaian bekalan yang menyaksikan peningkatan permintaan ESG dalam tahun-tahun akan datang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, salah satu projek yang disarankan bagi tujuan pembiayaan adalah pembangunan platform yang menyenaraikan pilihan pembiayaan daripada pelbagai bank, termasuk pasaran modal.

Malah, katanya, CGC telah memajukan aspek itu dengan kalangan PKS juga telah mula memanfaatkan platform tersebut.

"MITI melihat terdapat pelbagai peluang besar untuk bekerjasama dengan CGC bagi mewujudkan lebih banyak peluang bagi kemajuan PMKS dan mengembangkan lagi perniagaan di peringkat domestik dan rantau ini,” katanya.

Setakat 31 Disember 2022, CGC telah memberi kemudahan lebih daripada 522,000 jaminan dan pembiayaan bernilai lebih RM90.3 bilion serta membantu hampir 370,000 PMKS. - Bernama